PELAJAR Malaysia di luar negara diberi amaran agar tidak menemui pemimpin pembangkang atau berdepan risiko biasiswa ditarik, kata Dr Mahathir Mohamad dalam blognya hari ini.
Bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu berkongsi pengalamannya di London ketika meraikan Hari Raya bersama pelajar Malaysia.
“Saya dan isteri berkesempatan berbual-bual dengan hadirin, termasuk penuntut. Saya dapati penuntut tidak langsung bertanya akan keadaan di Malaysia, terutama politik. Mereka ternampak takut walaupun mesra.
“Saya diberitahu kemudian mereka dimarah oleh kerajaan Malaysia (tidak diberitahu siapa) kerana berada di tempat yang saya berada. Sebenarnya tidak ada penuntut yang berjumpa saya di masa-masa lain pun. Mereka takut biasiswa mereka ditarik balik,” kata Dr Mahathir.
Beliau menegaskan sebelum ini, para pelajar bebas untuk bertemu dan berinteraksi dengan pemimpin pembangkang, tetapi mereka kini tidak dibenarkan berbuat demikian.
“Di zaman dahulu, parti lawan bebas berjumpa dengan penuntut di mana-mana sahaja. Mereka dapat mendengar syarahan pemimpin parti lawan, bahkan menubuh kelab parti lawan. Tetapi sekarang mereka tidak lagi bebas, terutama jika melibatkan saya,” katanya.
Menurut beliau, ia disebabkan Perdana Menteri Najib Razak takut kehadirannya akan mempengaruhi pelajar.
“Sebenarnya saya diberitahu yang penuntut atau bukan penuntut di mana-mana sahaja amat benci kepada Najib kerana sebab yang diketahui umum.
“Hari Raya adalah hari istimewa. Bagi umat Islam kita perlu sembahyang bersama, berslam-salaman, memohon maaf zahir dan batin, bermesra. Najib mungkin tidak faham ini,” katanya.
Dr Mahathir adalah pengkritik paling sengit Najib, menuduh perdana menteri “mencuri” dari Malaysia melalui firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Kehakiman AS mengemukakan tiga saman fitnah untuk merampas harta benda, karya seni dan aset kewangan yang didakwa dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB.
Saman terbaru yang difailkan pada 15 Jun mendakwa AS$540 juta (RM2.31 bilion) digunakan untuk membeli antara lain, sebuah kapal layar AS$ 165 juta dan kalung bernilai AS$27.3 juta untuk isteri “Malaysian Official No. 1” (MO1).
Menteri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi perdana menteri menafikan sebarang salah laku.
Peguam Negara Mohamed Apandi Ali juga membersihkan Najib daripada sebarang penyelewengan selepas siasatan dijalankan.
Tetapi Dr Mahathir yang berusia 92 tahun itu mengadakan ceramah di seluruh negara yang mendesak pengundi menolak “pentadbiran korup Najib” pada pilihan raya umum akan datang. – 2 Julai, 2017.
Komen