Amanah cadang tubuh jawatankuasa khas pantau pegawai kanan kerajaan


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan untuk memantau segala tingkah laku dan tindakan berbentuk kecuaian, salah laku pegawai kanan kerajaan berhubung isu nasional seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2017.

PARTI Amanah Negara (Amanah) hari ini bercadang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan untuk memantau pegawai-pegawai kanan kerajaan berhubung isu penting negara.

Menurut Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, bekas pegawai-pegawai tinggi kerajaan itu terdiri daripada bekas hakim, peguam negara, tokoh perundangan yang masih berada dalam kedudukan tinggi di mata rakyat.

Ia bertujuan untuk memantau segala tingkah laku dan tindakan berbentuk kecuaian, salah laku pegawai kanan kerajaan berhubung isu nasional seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji.

Beliau berkata cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Pakatan Harapan (PH) dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Dalam isu 1MDB saya ulangi, ia bukan isu campur tangan asing, ia melibatkan harta awam atau sejumlah wang negara yang cuba diselewengkan dalam pelbagai cara di luar negara.

“Kami harap terutamanya peguam negara, bersikap impartial berkhidmat untuk negara bukan melindungi sesiapa yang terlibat dalam 1MDB,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di pejabat Amanah di Kuala Lumpur, hari ini. 

Sementara itu, mengulas mengenai Sarawak yang akan menghantar pasukan peguam ke London untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi rujukan mengenai hak negeri, Salahuddin berkata ia hanya akan mengundang campur tangan kuasa asing.

Salahuddin berkata tindakan diumumkan Ketua Menteri Abang Johari Openg itu merupakan legasi Adenan Satem yang ingin memelihara hak negeri Sarawak apabila mereka sertai Malaysia.

“Isunya di sini dalam PRN Sarawak, isu anti semenanjung memang dibawa dengan begitu hebat dan ketara dalam kempen Adenan.

“Untuk dia dapatkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap sentimen itu, ini nampak berjaya,” katanya.

Abang Johari bagaimanapun tidak mendedahkan bila pasukan itu akan ke London atau berapa lama ia akan berada di sana.

Beliau berkata pasukan itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek negeri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. – 3 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen