SARAWAK akan menghantar pasukan peguam ke London untuk mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi rujukan mengenai hak negeri, lapor Bernama semalam.
Agensi berita itu memetik Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata demikian pada majlis Hari Raya yang dianjurkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Sibu pada Jumaat.
Abang Johari tidak mendedahkan bila pasukan itu akan pergi ke London atau berapa lama ia akan berada di sana.
Beliau berkata pasukan itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
“Memang, kita akan meneruskan usaha Tok Nan (mantan ketua menteri Adenan Satem) untuk mendapatkan hak kami seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia.
“Itulah sebabnya kami menghantar Sharifah Hasidah dan pasukan undang-undang ke London untuk mencari dan mendapatkan rujukan.
“Perjanjian ini bukan sekadar persetujuan, kami ingin mendapatkan fakta yang betul kerana jika kami mahu membuat tuntutan, kami mesti melakukan ‘homework’, jika tidak, kami hanya tembak sebarangan,” katanya.
Abang Johari berkata kerajaan negeri memerlukan pendekatan yang sesuai untuk membangunkan Sarawak seiring peredaran masa.
Beliau menyatakan keyakinan dengan sokongan Kabinet negeri dan rakyat, usaha membangunkan Sarawak akan membuahkan hasil yang boleh membanggakan semua pihak. – 2 Julai, 2017.
Komen