PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Zakaria Arshad menghantar jawapan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan syarikat itu kepadanya pagi tadi.
Bagaimanapun Zakaria memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak hadir sendiri untuk menghantar jawapan itu kepada FGV.
Menurut Zakaria, surat itu diserahkan adiknya Maulud Arshad kepada Setiausaha Syarikat FGV Koo Shuang Yen pada pukul 11.30 pagi tadi.
Jawapan itu berkait dengan surat tunjuk sebab berhubung urusniaga di antara Satifex Trading LLC bersama anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
6 Jun lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Abd Karim, supaya bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman dilaksanakan secara terperinci.
Zakaria bagaimapun membantah dan berlaku pertikaian secara terbuka di antaranya dan bekas pengerusi FGV, Isa Samad.
Zakaria turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat FGV. Susulan kenyataan Zakaria itu, SPRM memanggilnya ke ibu pejabat dan menyoal siasatnya selama empat jam.
Pertikaian di antara Zakaria dan Isa secara terbuka menyebabkan Putrajaya melantik bekas menteri Kabinet Idris Jala sebagai orang tengah.
Selepas memanggil Zakaria, SPRM keesokan harinya menyerbu pejabat FGV dan merampas dokumen berkaitan dengan siasatan mereka.
Selepas lebih dua minggu kemelut melanda FGV, Isa akhirnya meletakkan jawatan sebagai pengerusi dan dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Dua hari selepas dilantik sebagai pengerusi SPAD Isa dan isterinya Bibi Shaliza Mohd Khalid hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan. – 29 Jun, 2017.
Komen