BEKAS ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menetapkan visi sendiri untuk meremajakan parti itu, dengan mengatakan beliau tidak akan berkompromi dengan maruah parti.
Beliau memberitahu ahli Umno Sabah malam tadi beliau tidak ingin menjadi presiden untuk satu penggal sahaja dan tidak akan “berunding dengan pihak lain” dalam usaha untuk meremajakan parti Melayu itu.
“Saya bukan calon untuk satu penggal. Saya tidak akan menjadi presiden sementara. Saya berjumpa dengan Tengku Razaleigh Hamzah, dan beliau mahu menjadi presiden hanya untuk satu penggal.
“Ini tidak betul. Mustahil untuk menjadi presiden hanya untuk tiga tahun dan menjelang tempoh tamat, Umno hanya akan mempunyai satu atau dua tahun untuk mempersiapkan diri berdepan pilihan raya. Ia tidak cukup masa untuk menyiapkan semua jentera pilihan raya. Ini mustahil.
“Saya tidak akan menunggu sehingga Tengku Razaleigh turun. Saya mahu menjadi presiden Umno semasa ‘berperang’,” katanya.
Tengku Razaleigh dan presiden Umno sementara Ahmad Zahid Hamidi adalah pesaing Khairy bagi jawatan presiden parti.
Parti itu dijangka mengadakan pemilihannya pada 30 Jun.
Khairy berkata beliau tidak akan berunding dengan pihak lain dan menegaskan Umno mempunyai maruah dan nilai-nilainya sendiri.
“Kita mesti mempunyai tenaga. Kita mesti mempertahankan dan berjuang menentang kerajaan baru. Kita mesti berani untuk menentang mereka walaupun di Parlimen.
“Kita boleh berunding dengan pihak lain, walaupun dengan mana-mana parti yang memerintah. Tetapi jika saya presiden, keutamaan saya ialah mengukuhkan Umno, tidak memulakan rundingan dengan mana-mana parti lain.
“Kita mempunyai maruah dan nilai. Kita tidak boleh membiarkan semua perkara yang berlaku sebagai alasan untuk berunding.
“Jika kita bercakap dengan mereka sekarang, kita sedang berunding dalam kedudukan yang paling lemah,” kata Khairy, merujuk Zahid, yang bertemu dengan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini. – 27 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan