SEBAGAI penjaga Umno, Ahmad Zahid Hamidi menawarkan klausa budiman dalam keizinan berkempen kepada semua calon yang bertanding.
Zahid dilantik memangku jawatan presiden secara sementara, sejurus Najib Razak melepaskan jawatan pada 12 Mei lalu. Najib didesak berundur setelah Umno dan BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.
Istilah memangku jawatan bukan asing pada Zahid. Sebelum itu, bermula 25 Jun, 2016 Zahid memangku jawatan timbalan presiden sebaik saja Muhyiddin Yassin dipecat.
Mandat asal Zahid hanyalah naib presiden yang dimenanginya pada pemilihan Umno 2013. Cuma kena ingat, Zahid menang cemerlang apabila menang di 188 daripada 191 bahagian Umno.
Selepas lima tahun Umno menangguhkan sesi pemilihan, Sabtu ini 30 Jun, Zahid akan kembali ke pertandingan. Kali ini sengit dan jadi penentu hidup mati karier politiknya. Kalau kalah, Zahid akan menutup kalendar sebagai pemimpin Umno pada usia 65 tahun.
Itu bab sejarah carta kedudukan Zahid dalam kepimpinan tertinggi Umno. Cuma pada 30 Jun ini, sejarah akan menulis sama ada Zahid sempat atau tidak bergelar presiden Umno melalui mandat pemilihan parti.
Umno pula, sejak pemilihan presiden pada 1987, tidak pernah mengadakan pertandingan merebut kerusi nombor satu. Selama tiga dekad, Umno memuhibbahkan proses pemilihan presiden melalui persepakatan.
Sejak 31 tahun lalu, selepas Dr Mahathir Mohamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada 29 April, 1987 Umno melalui tempoh 10 kali perhimpunan agung dengan sesi pemilihan presiden. Sepuluh kali, kerusi nombor satu sentiasa dipilih secara konsensus.
Abdullah Ahmad Badawi dan Najib juga, naik dan turun jawatan tanpa pernah melalui proses pengundian. Abdullah jadi pilihan Dr Mahathir sebagai presiden sebelum berundur pada 2003. Najib pula naik jadi presiden pada 2008, setelah Abdullah berundur.
Najib dan pasukan politiknya dalam Umno, mendesak Abdullah berundur setelah BN gagal menang dua pertiga pada PRU12 tahun 2008. Pada 3 April, 2009 Najib bergelar presiden Umno melalui sokongan Majlis Tertinggi.
Selesai bab sejarah pemilihan presiden Umno.
Cuma sekarang bab pertandingan tiga penjuru Sabtu ini. Walaupun Ku Li bertanding, namun namanya kini bukan lagi calon popular. Paling tidak, kerana pada 17 Jun, apabila Khairy Jamaluddin (KJ) tiba-tiba muncul menyerahkan borang pencalonan.
Sebelum itu, ketika Ku Li mengumumkan bertanding pada 16 Jun, ia kelihatan seperti kemuncak saspens. Bahawa, wujud pertandingan satu lawan satu antara Zahid dan Ku Li.
Pertandingan kali ini dilihat penting kerana Umno perlu memekarkan kembali demokrasi setelah tumbang teruk pada PRU14.
Walaupun kebanyakan orang Umno masih bongkak dengan 54 kerusi yang dimenangi sebagai tanda ia parti tunggal terbesar di Parlimen. Namun, mereka lupa realiti sebenar. Bahawa, angka 54 itu beriringan dengan hakikat kekalahan di 69 kerusi. Maknanya, Umno kalah hampir 60% kerusi Parlimen yang ditandingi.
Biarlah. Susah nak tegur fiil buruk Umno ini. Cermin yang kabur sukar dijadikan tempat menyuluh diri!
Balik bab KJ bertanding.
Apabila KJ menyerahkan borang pada 17 Jun lalu, dua jam sebelum tempoh pencalonan ditutup, Ku Li dilihat tidak lagi relevan. Agenda menyingkirkan Zahid sebagai presiden kini berpindah ke tangan KJ.
Gerakan anti Zahid bermula sebaik saja dia menggantikan Najib. Umno Johor menolak Zahid kerana dianggap saki-baki orang Najib. Tema kempen menjatuhkan Zahid mudah: Umno perlu dibersihkan daripada bayang-bayang Najib.
Ku Li pula, yang sebelum itu diwarwarkan sebagai calon terbaik, kini dilihat sebagai calon yang sudah terlalu tua. Ku Li dianggap lapuk dan tidak relevan kerana sudah 30 tahun menyepi selepas tewas kepada Dr Mahathir.
Begitulah Umno. Sikap gelojoh mahu membuang pemimpin, perangai gelojoh beralih sokongan, serta budaya gelojoh mencari habuan peribadi, adalah karakter unik orang Umno. Ia terserlah apabila berlaku perebutan kuasa.
Dalam media sosial, selama 10 hari berkempen menjelang 30 Jun ini, perang fitnah dan caci-maki hangat berlaku antara orang Zahid dan kem KJ. Walaupun kedua-dua calon ini berusaha untuk nampak budiman ketika berkempen, namun bagi penyokong, ini detik untuk saling berbunuhan.
Kenapa?
Sebab periuk nasi dan kocek penyokong tegar, kini bergantung pada kemenangan pemimpin mereka. Bukan lagi soal prinsip, tapi soal kapal untuk menumpang. Soal upah dan cari makan.
Penyokong kedua-dua kem sedar, keadaan kini sangat kritikal. Ketika Umno sudah papa kuasa, kepuk padi kini hanya wujud dalam parti. Hanya kerusi presiden akan menjamin penyokong terus “mendapat tulang untuk dimamah”.
Sikap melahar tulang inilah punca kempen dalam media sosial sangat memualkan. Perang kempen “pencari tulang” ini, mengekalkan sisi buruk pada wajah Umno.
Segala jenis tanda pagar (#) maki-hamun dilancarkan. Kata-kata nista seperti baruah, celaka, syaitan, penipu dan apa saja hamunan yang wujud dalam kamus, digunakan untuk saling menjatuhkan.
Proses pembogelan imej dan pembunuhan karakter dilakukan tanpa had dan batas. Jentera kedua-dua penyokong nampaknya macam bebal. Mereka lupa Umno kini parti papa kuasa. Bahawa, Umno telah kalah teruk pada PRU lalu.
Penyokong Zahid dan KJ lupa, mereka sepatutnya menjadi khadam yang menjaga maruah warlord masing-masing.
Kempen sepatutnya objektif. Berkisar soal teras nasionalisme Umno, atau agenda Melayu dan Islam. Kempen harus fokus pada persoalan survival parti dan mempromosi sisi intelek calon masing-masing.
Namun, semua itu nampaknya mulai tenggelam dalam kemelut politik jijik. Nampaknya, penyokong tegar lebih memikirkan soal desparado untuk mendapatkan “tulang sebagai habuan”.
Ia amat hina. Namun, itulah realitinya. Kempen kali ini seperti kisah kawanan anjing bergaduh berebut seketul tulang.
Sudah-sudahlah cybertroopers kedua-dua warlord. Malulah sikit! – 27 Jun, 2018.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan