CALON presiden Umno, Khairy Jamaluddin berkata Umno dan Barisan Nasional perlu ada identiti yang jelas sebagai parti politik untuk mengelakkan wakil rakyatnya keluar parti apabila berlaku krisis.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata antara sebab beliau mahu merebut jawatan nombor satu Umno adalah untuk membimbing parti itu ke arah lebih jelas.
“Antara sebab saya bertanding presiden sebab saya mahu berikan satu hala tuju yang jelas. Jadi tidak berlaku MP (ahli Parlimen) lompat,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di majlis rumah terbuka bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan di Kampung Tanjung Rantau, Negeri Sembilan.
Khairy mengulas tindakan ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar Umno dan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ini tindakan yang mengkhianati keputusan rakyat. Saya harap tidak ada wakil rakyat dari BN yang lain yang mengikut jejak langkah sebegini.
“Sebab rakyat memilih untuk kita untuk jadi pembangkang. Jadi tindakan untuk selamatkan diri untuk lompat ini saya rasa sangat-sangat tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Khairy sebelum ini dilaporkan mahu memberi nafas baharu dalam membina Umno selain membuka ruang untuk orang luar termasuk ilmuan, profesional dan aktivis.
Beliau juga mahu ruang pilihan diberikan sepenuh kepada perwakilan dan perlu bebas dari budaya terlalu terikat dengan kehendak dan pemikiran pemimpin akar umbi di bahagian.
Noor Azmi kini akan menjadi ahli parlimen bebas dan merancang mahu menyertai Parti Pribumi Bersatu (PPBM).
Keputusan beliau menjadikan kerusi Parlimen Umno tinggal 53 manakala BN memiliki 56 kerusi secara keseluruhan.
Dalam pada itu, calon timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata terpulang kepada mereka yang tidak mahu berjuang bersama Umno selepas tidak berkuasa lagi.
“Terpulanglah. Yang tinggal itu biarlah garam. Yang langau, yang tikus (hendak lompat) biasalah.
“Perjuangan bila sudah tidak apa-apa lagi, orang bukan perjuangan. Orang yang masuk Umno kerana nak cari peluang akan larilah bila Umno sudah tiada kuasa.
“Negara demokrasi mana kata tak boleh terima (yang lompat). Orang yang nak terima, kalau nak terima, terimalah, kita tidak boleh kata orang tak boleh terima,” katanya.
Apa yang lebih penting tambah Mohamad, Umno dan parti komponen lain perlu menguatkan parti masing-masing.
“Kita tidak boleh lagi hendak harapkan Umno kuatkan MCA dan MIC kerana sudah tidak ada dalam kerajaan. Jadi kita kena kuatkan parti kita dahulu, bila sudah kuat nanti maka gabungan itu akan kuat.
“Gabungan ini bukanlah sehidup semati, ini gabungan. Kalau mereka rasa tak nak bergabung, terpulanglah,” katanya kepada media di majlis sama.
Selain Bagan Serai, 10 Ketua Cawangan Rasah dan Rembau turut dilaporkan keluar Umno, lapor Berita Harian.
Gerakan juga semalam mengumumkan keluar daripada BN, menjadikan gabungan asal 13 komponen itu kini tinggal tiga – Umno, MCA dan MIC. – 24 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan