Pengasas MBI ditahan untuk siasatan


Looi Sue-Chern

Ketua penguat kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin (tengah) menunjukkan beberapa barangan yang dirampas berkaitan kes MBI International Group di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-chern, 20 Jun, 2017.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan pengasas skim permainan wang MBI International Group.

Ketua penguat kuasa kementerian Mohd Roslan Mahayudin berkata lelaki terbabit yang enggan didedahkan namanya, ditahan pada 19 Jun di premis syarikat itu di Taman MBI Desaku di Kulim, Kedah.

“Beliau berumur 50-an. Sama ada kami akan dakwa atau lepaskan dia, keputusan akan dibuat berdasarkan siasatan terlebih dulu,” katanya pada sidang akhbar di Bank Negara cawangan Pulau Pinang petang ini.

MBI diasaskan tujuh tahun lalu oleh Tedy Teoh.

MBI, pengendali platform saham elektronik besar, disiasat pelbagai pihak berkuasa kerana didakwa beroperasi tanpa lesen jualan langsung, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.

Awal bulan ini KPDNKK mengumumkan 91 akaun dengan nilai RM177 juta dibekukan untuk siasatan.

Roslan berkata pihak berkuasa membekukan empat lagi akaun dengan RM30 juta milik syarikat yang baru ditubuhkan oleh saudara kepada suspek Mface Club.

Skim ini dikatakan memberi pulangan besar setiap tahun dan dipercayai menjadi skim kewangan paling lama ditubuhkan di Pulau Pinang.

Kumpulan 27 syarikat itu mempunyai kira-kira 4.5 juta ahli di Malaysia dan China.

Pengasas terbabit yang ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), ditemui di dalam rumah mewah di Taman MBI Desaku ketika serbuan dibuat di tiga premis berkaitan MBI di Pulau Pinang dan Kedah.

Roslan berkata operasi “Ops Token II” itu dijalankan jam 6.30 petang semalam, disertai pasukan tindakan khas penguat kuasa kementerian, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Bank Negara Malaysia dan polis dari Bukit Aman yang menyerbu sebuah rumah di Sungai Dua, Butterworth di Pulau Pinang dan dua rumah di Taman MBI Desaku di Kulim.

Mereka merampas wang tunai RM280,000 di rumah di Butterworth dan RM182,612 serta RM218,000 dalam mata wang Singapura, Taiwan, AS, Australia, Thailand, Indonesia, New Zealand, Korea Utara, Hong Kong, Jepun, Laos dan Cambodia di rumah di Desaku.

Mereka juga menyita kereta mewah – sebuah Jaguar bernilai RM350,000, Range Rover (RM900,000) dan Vellfire (RM300,000) dari rumah itu.

Roslan berkata serbuan dibuat susulan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap skim Mfc Club atau Mface Club di Klang dan Pulau Pinang pada 29 Mei.

“Jumlah keseluruhan aset dan wang yang dirampas dalam serbuan terbaru ini ialah RM32.2 juta.

“Daripada semua 49 akaun syarikat termasuk milik anak syarikat MBI, dan 49 akaun milik individu berkaitan MBI, termasuk mereka yang menganjurkan skim itu, kami sudah membekukan RM209 juta,” katanya.

Jika disabitkan bersalah di bawah AMLATFPUAA, seseorang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun, denda lima kali ganda jumlah yang terbabit dalam aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Beliau berkata pihak berkuasa menghabiskan masa sebulan untuk menyiasat dan mengumpul maklumat mengenai MBI.

Ditanya adakan M Mall, anak syarikat MBI boleh terus dibuka, Roslan berkata tidak ada masalah untuk perniagaan berjalan seperti biasa kerana siasatan di situ selesai.

“Ia (nasib pusat beli-belah itu) akan ditentukan nanti,” katanya, menambah pihak berkuasa boleh membekukan akaun bank sehingga 90 hari dan ada 12 bulan untuk melengkapkan siasatan.

Beliau berkata pihak berkuasa juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara luar dalam siasatan mereka jika perlu.

Katanya, setakat ini tidak ada sesiapa membuat laporan terhadap syarikat itu. – 20 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen