PENGASAS MBI Group International, Tedy Teow Wooi Huat dan anaknya pernah dipenjarakan sebelum ini kerana menjadi individu utama dalam francais Island Red Cafe 2008 hingga 2010, lapor The Star Online hari ini.
Teow, yang syarikatnya kini di bawah perhatian kerana skim wang maya, dan anaknya Chee Chow, 28, dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda sejumlah RM160,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada Ogos 2011.
Mereka didapati bersalah menipu dan mengelirukan pelabur mnerusi skim rantaian kafe dengan secara salah mendorong 93 orang melabur sejumlah RM1,040,400.
MBI, pengendali platform saham elektronik besar, kini sedang disiasat pelbagai pihak berkuasa kerana didakwa beroperasi tanpa lesen jualan langsung, mempromosikan skim piramid dan pengubahan wang haram.
Awal minggu ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan 91 akaun dengan RM177 juta dibekukan untuk siasatan.
Skim ini dikatakan memberi pulangan besar setiap tahun dan dipercayai menjadi skim kewangan paling lama ditubuhkan di Pulau Pinang.
Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan MBI International Sdn Bhd didaftarkan di bawah Teow Mooi Goay, 47, dan Teow Ee Meng, 26, dengan Khoo Kien Hor, 47, sebagai setiausaha.
Pemegang saham adalah Ee Meng dan Chee Chow, dengan modal sebanyak RM1 juta.
Ee Meng juga dipercayai anak Tedy Teow. – 2 Jun, 2017
Komen