WARISAN mengikut jejak langkah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dengan menggugurkan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah, kata sumber.
Tindakan itu adalah sebahagian proses pembersihan kerajaan negeri.
Ketua Menteri Shafie Apdal sudah memberi petanda akan berlaku perubahan kedudukan pegawai kanan, pengarah dan pengarah urusan semasa dan semakan kelayakan sedang dijalankan.
Tindakan itu juga adalah sebahagian daripada ikrar pilihan raya Shafie untuk menggugurkan semua individu lantikan politik terutama dalam GLC Sabah.
Walaupun bukan sebahagian Pakatan Harapan, Warisan adalah sekutu kuat gabungan pemerintah dan tindakan menggugurkan lantikan politik itu adalah selari dengan tindakan diambil kerajaan pusat sekarang.
Putrajaya sudah menggugurkan ketua pegawai ekesekutif GLC dan pengawai kanan perkhidmatan awam dalam proses pembersihan lantikan politik Barisan Nasional (BN) selepas perubahan kerajaan 9 Mei lalu.
Dalam perkembangan terkini dilaporkan The Malaysian Insight, Putrajaya tidak memperbaharui kontrak CEO Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Mohd Badlisham Ghazali yang tamat akhir bulan ini, CEO Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) Mohamad Salim Fateh Din juga akan bersara hujung Jun ini.
Sumber langsung terlibat dalam perkara itu menjelaskan yang tindakan itu membolehkan profesional yang layak menjawat kedudukan tersebut.
Ini juga adalah sebab tindakan sama menggugurkan ketua GLC di Sabah.
“Kebanyakan ketua GLC Sabah akan digugurkan kerana mereka adalah lantikan politik. Proses baru bermula, memandangkan cuti Hari Raya baru berakhir,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
“Pengguguran akan berlaku dalam beberapa tahap,” katanya lagi.

Terdapat 37 GLC di Sabah dan The Malaysian Insight difahamkan yang ramai profesional sudah menghantar kelayakan mereka kepada Pejabat Ketua Menteri untuk dipertimbangkan menjawat pelbagai jawatan kanan GLC yang akan dikosongkan kelak.
Antara yang jadi sasaran pengguguran ialah Samsudin Yahya yang merupakan ketua Umno Bahagian Batu Sapi dan bekas Adun Sekong yang kini menerajui Sabah Cement Industries Sdn Bhd, cabang pelaburan syarikat milik kerajaan negeri, Sabah Economic Development Corporation (Sedco).
Antara jawatan yang selama ini jadi buruan politikus negeri adalah pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, sebelum ini milik Adun Kulu Joniston Bangkuai yang sudah mengosongkan jawatan itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sumber juga memberitahu yang beberapa setiausaha tetap dan ketua jabatan akan diganti.
“Ada penjawat awam yang dah capai umur bersara wajib 58 tahun, tetapi terima kontrak pelanjutan perkhidmatan, tetapi kontrak mereka tidak akan diperbaharui. Ada juga yang diminta berundur lebih awal,” kata sumber.
“Tetapi, ia mungkin tidak berlaku kepada semua, kerana ada yang diperlukan untuk fasa transisi kerajaan negeri,” kata sumber menambah yang tindakan itu juga membolehkan pengawai lain naik pangkat.
Sumber juga memberitahu pengguguran penjawat awam hanya boleh dilakukan dengan perpindahan keluar, atau menunggu sehingga kontrak mereka tamat dan bukannya pemecatan kerana wujud implikasi birokrasi dalam perkhidmatan awam.
Terdapat 56 agensi dan 10 kementerian dalam kerajaan negeri Sabah. – 22 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan