Naib canselor 'talam dua muka' diminta letak jawatan


Diyana Ibrahim

Kerajaan mengenalpasti pegawai tertinggi universiti tersebut yang sudah berubah sikap walaupun sebelum ini giat mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2018.

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik menggesa naib canselor dan timbalan naib canselor universiti awam yang cenderung menyokong Barisan Nasional (BN) untuk melepaskan jawatan.

Beliau berkata arahan tersebut sejajar dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk “membersihkan” agensi kerajaan daripada pegawai lantikan politik BN.

Katanya, beliau juga sudah menemui naib canselor terbabit untuk menyampaikan perkara itu.

“Saya sendiri adakah pertemuan dengan pihak naib canselor secara tertutup dan menyatakan hasrat perdana menteri dan Kabinet .

“Kita nak peletakan jawatan secara sukarela di pihak mereka kerana tak mahu mereka terus bersikap hipokrasi, biar pendirian jelas,” katanya.

Beliau berkata pilihan untuk melepaskan jawatan secara sukarela itu bagi naib canselor dan timbalan naib canselor yang masih berkhidmat.

“Di mana yang tamat tempoh kita tidak akan lantik semula tapi yang masih berkhidmat kita bagi pilihan kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Katanya, kerajaan mengenal pasti pegawai tertinggi universiti tersebut yang sudah berubah sikap walau giat mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Rekod mereka banyak terutama muncul di media massa yang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 mempertikaikan umur dan kelayakan perdana menteri, lepas 12 malam dia tukar pula.

“Jadi kita tidak mahu orang yang bermuka-muka seperti ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika kementeriannya juga menghentikan pelantikan politik dalam perkhidmatan separa awam seperti badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Dr Mahathir pada awal bulan ini berkata penjawat awam yang berkempen untuk BN dalam pilihan raya itu memberi masalah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjalankan pentadbiran dan reformasi institusi.

Maszlee juga memberi jaminan untuk tidak melantik naib canselor dan timbalan naib canselor daripada kalangan ahli partinya sendirinya.

Katanya, syarat pelantikan jawatan itu juga akan diperketat dengan memilih individu yang benar-benar layak.

“Yang pasti saya tak akan lantik ahli parti sendiri untuk lantik naib canselor atau timbalan. Tapi kalau dia memang ahli parti semasa dilantik menjadi naib canselor itu kita tak ada pilihan.

“Tapi saya berjanji pelantikan bukan ahli parti untuk membezakan kerajaan lalu dan memastikan universiti bebas politik,” katanya. – 21 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen