Dr Mahathir persoal kesetiaan penjawat awam


Radzi Razak

Kerajaan Pakatan Harapan bimbang kesetiaan penjawat awam terhadap Barisan Nasional akan menganggu tugas pentadbiran, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 Jun, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan kesetiaan penjawat awam yang berkempen untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Mahathir berkata perkara itu boleh menjadi masalah kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjalankan pentadbiran dan reformasi institusi kerajaan yang dirancang mereka.

“Inilah sesuatu yang menjadi masalah kepada kita. Ada beberapa masalah yang lain yang kita harap boleh dapat atasi dan dengan itu kita dapat licinkan pentadbiran kerajaan yang sekarang ini.

“Pegawai biasa dalam kerajaan telah cemarkan diri mereka dengan mengambil bahagian dalam politik dan kempen secara terang. Kita ada rakaman video.

“Kita tidak akan menghukum terus, tetapi kita perlu melihat kesetiaan mereka kepada kerajaan PH dan tidak boleh berpihak kepada propaganda BN, ” kata beliau selepas sidang media Majlis Presiden PH hari ini.

Dr Mahathir turut berkata walaupun setiap penjawat awam berhak mengundi sesiapa yang mereka mahu, dari segi pekerjaan agak sukar untuk melaksanakan pekerjaan sekiranya mempunyai penglibatan dan kepercayaan mendalam dalam politik pihak lawan.

“Kita perlu dapatkan kerjasama daripada pegawai-pegawai (kerajaan), tapi kerana mereka terlibat secara mendalam dengan kempen pilihan raya yang sepatutnya mereka tak terlibat.

“Maka sekarang kita perlu tentukan sama ada kita boleh dapat kerjasama daripada pegawai-pegawai kerajaan yang sepatutnya menjadi pegawai tak berpihak mana-mana parti walaupun mereka berhak undi mana-mana parti

“Tapi dalam jalankan tugas mereka, tak boleh memihak mana-mana parti tapi untuk laksanakan keputusan dasar-dasar kerajaan semasa,” kata beliau

Kenyataan Dr Mahathir ini dilihat sebagai memberi amaran kepada penyokong BN yang masih mempunyai jawatan dalam kerajaan dan GLC milik Malaysia.

Dr Mahathir bagaimanapun seolah menyimpan lebih banyak lagi perkara apabila diminta mengulas lebih lanjut oleh media berkenaan tindakan yang bakal diambil.

“Ini saja saya boleh cerita, yang lain secret (rahsia),” kata beliau.

Dalam hal berkaitan, Dr Mahathir turut berkata 17,000 kakitangan kontrak lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini tetap akan mendapat bantuan Aidilfitri.

Bagaimanapun, mereka tetap akan ditamatkan kontrak jawatan diwujudkan khas membantu BN sebelum ini.

“Kena ambil tindakan sebab jawatan yang ada bukan keperluan dan diberi kepada orang yang menyokong parti lawan,” katanya.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini meminta kerajaan melanjutkan notis penamatan sebahagian 17,000 kakitangan kontrak lantikan politik yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini kerana begitu hampir dengan musim perayaan. – 1 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen