SUHARTO Tijoo sudah dengar cakap-cakap politik bahawa ramai calon akan bertanding merebut jawatan presiden Umno tetapi beliau masih juga terkejut apabila mendengar Khairy Jamaluddin menyerahkan borang pencalonan ikut serta pemilihan.
Beliau terdiam seketika sebelum menerima hakikat bahawa ketua Pemuda Umno itu bertanding jawatan yang selama ini ditandingi oleh pemimpin paling kanan dan berkuasa dalam parti itu.
Belum pernah Umno membayangkan kemungkinan diketuai seorang presiden yang berumur tidak lebih 50 tahun. Belum pernah juga jawatan tertinggi dalam parti ini ditandingi sebegini ramai calon.
Penganalisis dan ahli akar umbi parti seperti Suharto melihat percubaan Khairy dan persaingan sengit pemilihan parti kali ini sebagai langkah penting ke arah meremajakan parti yang sudah jadi terlalu elit dan ketinggalan.
Dakwaan pemimpin Umno rasuah dan mementingkan diri sendiri adalah antara faktor utama yang menyebabkan ia hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Baguslah,” kata Suharto dengan air muka yang serius sambil merenung gambar borang pencalonan Khairy yang dikongsi ketua pemuda itu di Instagram.
“Baguslah dia buat keputusan lawan jawatan presiden. Ini menunjukkan pemilihan Umno tahun ini terbuka,” kata setiausaha Umno bahagian Baling itu.
Suharto, 50, yang pernah juga jadi setiausaha Pemuda Umno bahagian berkata, Khairy pemimpin muda dan dinamik yang diperlukan oleh Umno sekarang.
Kalau Khairy menang, beliau akan jadi presiden parti itu yang paling muda pada umurnya 42 tahun. Dua pesaing utamanya ialah pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi, 65, dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang yang juga ahli Parlimen kawasan itu, Tengku Razaleigh Hamzah, 81.
Khairy masuk bertanding pemilihan presiden sesuatu yang baik untuk Umno yang kini masuk 72 tahun penubuhannya, kata pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar.
“Ia memberi lebih pilihan kepada ahli. Ada dua calon senior yang boleh menstabilkan parti dan ada seorang calon muda yang boleh memberi semangat kepada pimpinan muda yang lain,” katanya.
Selepas pencalonan ditutup petang semalam, tujuh orang mengemukakan pencalonan sejak dibuka pada 1 Jun lalu.
Selain Zahid dan Tengku Razaleigh, hanya seorang lagi calon, Rahmat Azim Abdul Aziz yang sudah mengumumkan bertanding jawatan presiden manakala nama-nama lain tidak didedahkan oleh Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusof.
Khairy berdepan jalan sukar untuk mengetepikan lawannya yang lebih kanan, melihat kepada struktur Umno dan bagaimana kuatnya pengaruh pemimpin parti di peringkat bahagian dalam pemilihan parti.
Beban
Menurut Tunku Mohar, Tengku Razaleigh dilihat sebagai seorang tokoh politik veteran dan calon berwibawa sama seperti Dr Mahathir Mohamad, yang kini jadi perdana menteri.
Khairy pula membawa dimensi intelektual yang perlu bagi Umno sekiranya ia mahu jadi pembangkang yang berkesan kepada kerajaan, katanya.
Sementara Zahid pula, mungkin terpalit dengan skandal kerana sokongan kuatnya kepada bekas presiden Umno, Najib Razak, tambahnya.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, tindakan Najib menyerahkan kuasa memangku jawatan presiden kepada Zahid tidak membantu naib presiden itu.
“Banyak pemerhati merasakan Umno perlu pemimpin baharu yang boleh dibandingkan dengan Dr Mahathir. Dalam hal ini, Tengku Razaleigh dilihat calon yang ada potensi.
“Banyak pihak dalam parti juga merasakan Umno perlu rombakan menyeluruh kerana ia terbeban dengan persepsi rasuah,” kata Mazlan.

Khairy dilihat sebagai seorang yang muda dan dinamik walaupun beliau juga ada beban politik sejak era bekas perdana menteri dan presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi, katanya.
Namun Tunku Mohar tidak merasakan itu sebagai beban kepada Khairy.
“Walaupun Khairy juga ada masalah, keutamaan bagi ahli parti sekarang ialah memilih pemimpin yang boleh memulihkan parti.
“Beliau mungkin bermasalah kalau semua calon lain sama kuat. Tetapi calon-calon lain juga ada beban masing-masing,” katanya.
Mazlan berkata ramainya calon yang bertanding tanda akar umbi mahukan perubahan.
“Sejak pertandingan pada 1987 antara regu Dr Mahathir-Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh-Musa Hitam, tidak ada pertandingan bagi jawatan itu dalam Umno.
“Ini baik untuk Umno, dan dengan Khairy ikut bertanding, ia akan jadi satu pertandingan yang sengit,” kata Mazlan. – 18 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan