MASA terbaik mendapat pengajaran dalam hidup ini, malangnya adalah disaat seseorang itu jatuh tersungkur.
Bekas perdana menteri Najib Razak semalam ini meluahkan kesedihannya selepas beliau hanya mempunyai sedikit akses kepada media untuk berkomunikasi dengan rakyat.
Najib berkata beliau hanya boleh berkomunikasi dengan rakyat menerusi media sosialnya.
Tetapi, pertamanya, cuba kita lihat isu ini dalam perspektif yang betul. Najib masih mempunyai akses kepada media, cuma bukanlah seperti semasa beliau lelaki paling berkuasa dalam negara.
Sudah tentu, Najib tidak boleh mengharapkan layanan yang biasa diperolehinya dulu dari media arus perdana yang akan menggarap kata-katanya seperti kata-kata hikmah, atau ketika sesetengah wartawan mengagung-agungkannya. Amalan kewartawanan seperti ini tidak boleh dianggap sebagai betul atau beretika.
Keluhan Najib itu apalah sangat jika nak dibanding dengan apa yang kita semua alami.
Ingat lagi bagaimana bongkaknya Najib terhadap orang-orang yang mengkritik, baik sedikit banyak?
Ingat lagi, contohnya, bagaimana penerbit tarian Bilqis Hijjaz diheret ke mahkamah hanya kerana melepaskan beberpaa biji belon yang dicetak perkataan keadilan dan kebebasan?
Begitu juga pelukis kartun Zunar dikenakan beberapa dakwaan dan dilarang ke luar negara kerana melukis kartus menyindir Najib dan isterinya, Rosmah Mansor?
Dan apa jadi kepada mereka yang mengkritik Najib di media sosial dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)?
Kebebasan bersuara dan media merupakan salah satu tiang utama bagi demokrasi yang teguh, yang perlu dipelihara dan bukan dipijak-pijak oleh mereka yang memegang kuasa.
Satu lagi yang harus dipelajari Najib ialah menyuarakan pandangan berlainan dari mereka yang berkuasa tidak patut dianggap sebagai perbuatan jenayah kerana ini adalah sebahagian daripada kepelbagaian yang harus diraikan dalam masayarkat kita yang pelbagai etnik dan budaya.
Sebagai seorang yang kini menjadi pembangkang, Najib perlu sedar betapa pentingnya media menjadi bebas dalam demokrasi.
Ini bagi memastikan sesiapa saja di kedua belah pihak politik - termasuk masyarakat - mendapat layanan adil dan diberi akses kepada media.
Kemudian barulah tiada lagi kedengaran keluhan dan kesedihan dari mana-mana parti politik yang tewas berkata mereka diketepikan oleh media. – 17 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan