Putrajaya dan PAS perlu bekerjasama, kata Mustafa Ali


Zulkifli Sulong

Veteran PAS, Mustafa Ali berkata tiada sebab parti Islam itu dan kerajaan tidak boleh bekerjasama kerana mempunyai matlamat sama, membangunkan negara dan negeri selepas PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2018.

PUTRAJAYA perlu bekerjasama baik dengan kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu demi kepentingan kedua-dua pihak, kata veteran parti Islam itu, Mustafa Ali.

Katanya, tiada sebab kedua-dua pihak tidak boleh bekerjasama kerana matlamat mereka serupa, membangunkan negara dan negeri selepas dapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Mustafa mengingatkan, kerajaan Persekutuan tidak lagi boleh ada sikap diskriminasi terhadap negeri pembangkang sebaliknya betul-betul menzahirkan semangat persekutuan mengikut Perlembagaan.

“Yang perintah (kerajaan) pusat tentu ada hala tuju untuk bangunkan negara sebaik mungkin. Begitu juga yang memerintah negeri, juga hendak membina negeri selepas pilihan raya.

“Hubungan antara negeri dan pusat sangat penting dan mustahak. Kedua-duanya perlu ada hubungan baik selaras dengan prinsip federalisme,” kata Mustafa dalam wawancara dengan The Malaysian Insight di rumahnya dekat Kuala Terengganu.

Mustafa baru-baru ini menjadi broker yang mengatur pertemuan antara Menteri Besar Terengganu, Ahmad Shamsuri Mokhtar dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Pertemuan pada Isnin, 4 Jun itu disertai Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan beliau sendiri.

Selepas lama diketepikan dalam kepimpinan PAS Pusat, penampilan Mustafa bersama Hadi dan Samsuri mengejutkan sesetengah pihak dalam kalangan parti Islam itu, sama seperti pertemuan dengan Dr Mahathir itu menarik perhatian pemerhati politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mustafa menjelaskan konteks kenapa beliau mengatur pertemuan itu dengan niat merapatkan hubungan Putrajaya dengan negeri-negeri PAS, khasnya Terengganu yang sangat memerlukan royalti minyak.

“Berdasarkan sejarah kita masa lalu, bila parti yang memerintah negeri tidak sama dengan pusat, maka selalu berlaku tekanan terhadap negeri.

“Pengalaman ini dialami oleh PAS sendiri di Kelantan dan Terengganu serta Kedah (selepas PRU 2008) sebelum ini di mana tidak wujud hubungan yang harmoni dan mesra antara pusat dan negeri.

“Ia sudah tentu menjejaskan parti untuk membangunkan negeri dan memberi kesan kepada negara.

“Oleh itu, saya berpandangan perlu ada hubungan yang baik antara pusat dan negeri,” kata Mustafa.

Selepas PRU14, PAS mengekalkan kuasa di Kelantan yang diperintahnya sejak 1990, dan kembali merampas Terengganu. PAS pernah mentadbir Terengganu selama sepenggal selepas PRU 1999.

Lima tahun antara 1999 dan 2004 itu, ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dulu, hubungan Persekutuan dan dua negeri itu tegang kerana pertikaian berhubung royalti minyak.

Bantuan Persekutuan juga tidak disalurkan langsung kepada negeri sebaliknya diagihkan melalui agensi pusat yang ditubuhkan di negeri.

Buat pertama kalinya juga, istilah “wang ihsan” iaitu dana Persekutuan untuk Kelantan dan Terengganu, masuk dalam kamus politik Malaysia.

Menurut Mustafa, pandangannya itu dikongsi bersama oleh Hadi dan Samsuri, yang juga merasakan perlu ada hubungan baik antara pusat dan negeri, lalu beliau mengaturkannya kerana ada hubungan baik dengan perdana menteri.

“Saya hanya menemani mereka,” kata Mustafa.

Beliau memaklumkan, pada pertemuan itu, semua pihak setuju hubungan Putrajaya dan negeri-negeri perlu diperkukuh dan diharmonikan.

Dr Mahathir juga berjanji akan memberikan royalti petroleum kepada kerajaan negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam perjanjian dan juga manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu.

“MB pun sebut nak hubungan baik antara pusat dan negeri. Maknanya saling perlu memerlukan. Soal tanah bidang kuasa negeri, pembangunan projek dari pusat perlukan kerjasama negeri,” katanya, memberikan contoh projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Kalau tiada kerjasama negeri, projek ini tidak akan berjalan kerana memerlukan tanah dari negeri. Sebab itu hubungan (baik) ini perlu ada,” katanya.

Tiga hari selepas pertemuan itu, Shamsuri mengumumkan kerajaan Persekutuan setuju membayar royalti minyak terus kepada kerajaan negeri, selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Negeri bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – 17 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen