PUTRAJAYA akan membayar royalti minyak kepada negeri yang memiliki sumber petroleum, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.
Beliau berkata keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.
Katanya kerajaan juga bersetuju untuk membayar royalti itu terus kepada kerajaan negeri berbanding sebelum ini yang diagihkan kepada agensi persekutuan.
“(Buat) masa ini ia akan jadi sekurang-kurangnya 5% atau kadar terkini,” kata Ahmad selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Negeri di Kementerian Kewangan hari ini.
Beliau berkata royalti minyak akan dibayar kepada kerajaan negeri tidak kira sama ada ia diterajui PAS, Pakatan Harapan atau Barisan Nasional.
Turut hadir pada mesyuarat itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan ketua menteri Sabah dan Sarawak, Shafie Apdal dan Abang Johari Tun Openg.
Ahmad Shamsuri berkata butiran bagaimana bayaran itu dibuat akan ditentukan kemudian.
“Tetapi ia adalah janji kerajaan persekutuan untuk salurkan royalti minyak kembali kepada rakyat,” tambahnya.
Beliau berkata, penting untuk royalti minyak diberikan terus kepada kerajaan negeri.
Sebelum pilihan raya, PH berjanji akan memberikan 20% royalti minyak kepada Sabah, Sarawak dan negeri lain yang akan diberikan nilai sesuai royalti.
Di bawah Akta Pembangunan Petrolium, negeri yang memiliki sumber gas asli dan petroleum akan diberikan 5% hasil pengeluaran minyak.
Namun selepas PAS menerajui Terengganu pada 1999, kerajaan persekutuan menukarkan royalti kepada “wang ehsan” yang disalurkan kepada negeri menerusi agensi pembangunan persekutuan. – 7 Jun, 2018
Komen