PARTI komponen Barisan Nasional (BN) yang paling lama, MCA bukannya tidak pernah mempertimbangkan untuk keluar dari gabungan itu, kata bekas naib presiden Gan Ping Sieu hari ini.
“Keluar BN adalah salah satu pilihan yang disuarakan akar umbi (ahli) dan jawatankuasa pembaharuan,” katanya. Namun, tambah Gan, keputusan akhir terletak pada tangan pemimpin di peringkat akar umbi dan kebangsaan.
Kenyataan Gan ini menyusul selepas empat parti BN Sarawak mengumumkan keluar dari gabungan itu bagi membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Gan, senator dan timbalan menteri dalam pentadbiran Najib pada 2010, berkata BN memerlukan lebih daripada keterangkuman politik.
“Kami mencadangkan pembaharuan politik dalam jawatankuasa pembaharuan BN pada 2013. Parti-parti komponen tidak dilibatkan dalam proses politik,” kata presiden bersama Centre for a Better Tomorrow (Cenbet) itu.
Kajian yang dibentangkan Cenbet menunjukkan 90% rakyat Malaysia mahukan pembaharuan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Namun, transformasi itu tidak mencukupi, kata Gan.
“Melainkan transformasi politik cukup inklusif, MCA akan sering dilihat sebagai satu liabiliti kepada Umno dan begitu juga sebaliknya,” katanya. – 12 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen