KEBANYAKAN pengundi Melayu Islam menyokong kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai perdana menteri, rumus kaji selidik oleh dua badan penyelidik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Hasil dapatan dua kaji selidik itu menafikan dakwaan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia bahawa orang Melayu Islam mula merasai dan menginsafi kehilangan kuasa Umno sejak PRU14.
Kekesalan itu kebanyakannya dirasai oleh ahli Umno yang menolak parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU14, kata penganalisis politik Hisomuddin Bakar.
Hisomuddin dari Ilham Centre berkata ahli Umno ini menolak parti itu kononnya untuk memberi pengajaran kepada pemimpin tetapi kemudiannya terkejut melihatkan kesan tindakan mereka itu.
“Mereka terkejut kerana hilang kuasa di peringkat persekutuan. Mereka hanya mahu menunjukkan protes terhadap pemimpin yang angkuh tetapi mereka yang akhirnya menyesal.
“Orang Melayu umumnya selesa dengan PH kerana mereka tidak lagi perlu membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” kata Hisomuddin yang menjalankan kajian terhadap pengundi dalam kalangan ahli dan bukan ahli Umno selepas PRU14.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center juga senada apabila mengatakan kajian pihaknya juga menunjukkan majoriti pengundi Melayu berpuas hati dengan kerajaan baharu.
“Mereka memberikan sokongan yang tinggi kepada Dr Mahathir,” kata Ibrahim.
Peralihan kuasa yang lancar dan aman dari BN kepada PH juga kritikal dalam menolak mitos yang disebarkan oleh Umno serta mengukuhkan keyakinan Melayu terhadap kerajaan baharu.
“Mereka nampak tiada keganasan dan tiada kekacauan. Semuanya berjalan seperti biasa tetapi dengan bonus tambahan tiada lagi tekanan GST. Peniaga Melayu terutamanya sangat menghargai keadaan ini,” kata Hisomuddin.
Melayu mahu urus tadbir baik
Dalam pojoknya hujung minggu lalu, Awang Selamat yang menulis di Mingguan Malaysia menyebut “marah dan merajuk orang Melayu terhadap Umno tidak lama”.
Menurut Awang Selamat, orang Islam dan Melayu resah dengan banyak isu kebelakangan ini – namun tulisan itu tidak menyatakan isu yang mana satu yang dirujuknya.
Utusan sebelum ini dikritik kerana memainkan sentimen kaum dan agama, termasuk baru-baru ini membantah pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara atas alasan beliau bukan Melayu dan bukan Islam.
Pelantikan Thomas disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui satu kenyataan media yang turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menerima pelantikan tersebut, yang “tidak sepatutnya menimbulkan konflik ke atas kaum dan agama”.
Prof Mansor Mohd Nor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata isu kaum penting bagi segelintir kelompok minoriti dalam semua kaum di Malaysia.
“Majoriti sebaliknya mahu memberi perhatian kepada urus tadbir yang dan pembangunan yang inklusif. Mereka mahu pemimpin yang profesional dan berintegriti,” kata Mansor, yang mengkaji bidang hubungan antara kaum.
“Malah sebelum PRU14, ada banyak kajian menunjukkan bahawa rakyat menerima pegawai kerajaan daripada latar belakang yang pelbagai.”
Manosr berkata satu lagi sebab kenapa kebanyakan rakyat Malaysia termasuk Melayu tidak terbuai dengan isu perkauman adalah kerana PH konsisten mendukung Perlembagaan Persekutuan, yang menggariskan kedudukan istimewa Melayu.
Kajian Merdeka Center sebelum PRU14 jelas menunjukkan peralihan sikap pengundi Melayu.
Ia menunjukkan sepanjang tempoh kempen 11 hari, pengundi Melayu mula mengetepikan kepentingan soal “melindungi hak Melayu,” kata Ibrahim, sebaliknya lebih mengutamakan soal “mempunyai kepimpinan nasional yang berwibawa”.
Peralihan sentimen ini disebabkan oleh faktor Dr Mahathir yang memberikan legitimasi kepada PH.
Perdana menteri itu juga berulang kali mengingatkan pengundi akan skandal kewangan yang dilakukan oleh BN. Perubahan corak pemikiran pengundi Melayu ini terbawa-bawa sampai selepas PRU14. – 12 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan