‘Happy monthversary’ kerajaan Pakatan


Izmil Amri

SEMALAM, 10 Jun genap sebulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbentuk, mengambil alih tampuk kuasa daripada Barisan Nasional (BN) yang selama enam dekad mengekalkan rekod tanpa kalah.

Genap sebulan juga rakyat Malaysia menghirup udara merdeka kali kedua, membebaskan diri daripada cengkaman kleptokratik United Malays National Organisation (Umno). Tidak dapat kita nafikan betapa leganya rasa di hati, seakan suatu beban yang besar terlepas dari atas kepala – seperti dreadlock seniman Rahmat Haron yang melingkar di atas kepalanya sejak 1999.

Rahmat akhirnya melangsaikan nazarnya itu dalam satu aksi seni persembahan dua malam berturut-turut. Bermula dengan upacara mencuci sebuah dulang tembaga dengan motif Parlimen Malaysia. Malam seterusnya, Rahmat muncul dalam majlis berbuka puasa Malaysiakini dan memotong rambut berusia 19 tahun yang sudah mencapai lantai itu, lalu diletakkan di atas dulang tersebut.

Katanya, itu simbolik beliau mengembalikan beban fikiran yang sudah berada di kepalanya sejak sekian lama, kepada badan yang sepatutnya melaksanakan kerja-kerja memikir dan menyelesaikan masalah negara.

Parlimen bakal bersidang pada pertengahan Julai nanti; dengan komposisi yang berbeza dengan sejarahnya sepanjang 60 tahun lalu. Buat pertama kalinya pemimpin-pemimpin parti DAP (terutamanya) akan duduk di blok kerajaan, setelah lebih 50 tahun bergelar pembangkang.

Parti-parti pembangkang yang baharu akan terpaksa bersempit di pejabat-pejabat pembangkang di bahagian menara. PAS tidak lagi perlu berkongsi pejabat mereka dengan Amanah.

Pejabat kecil yang dahulu dikhususkan untuk DAP pula barangkali akan diambil alih oleh BN, jika tidak ada yang sudi menjadi ketua pembangkang. Bilik ketua pembangkang jauh lebih luas, siap ada bilik mesyuarat. Bertentang dengan pejabat PAS. Sesuai dah “setting” begitu.

Lim Kit Siang akan berpindah ke pejabat backbencher. Pastinya pejabat yang lebih luas berbanding pejabat lama. Bilik mesyuarat di pejabat lama itu, sepuluh orang pun tak muat. Begitulah bagaimana keadaan sudah menjadi terbalik, ketika nasib untung tidak lagi memihak kepada BN.

Baru sebulan, dan kita sebagai sebuah bangsa sudah merasakan begitu lega.

Cukai GST sudah dikadar sifar, subsidi petrol dikembali secara bersasar, projek-projek mega dikaji semula, senarai hitam pemiutang PTPTN dihapuskan, caruman suri rumah diperkenalkan, dan habis semua skandal-skandal jahat Najib Razak dan BN dilondehkan satu persatu.

Daripada senarai janji 10 Janji 100 Hari PH; empat janji sahaja lagi yang belum mula dilaksana: penghapusan hutang peneroka Felda, penyamarataan gaji minima, pelaksanaan skim peduli sihat dan pemulihan status rakan kongsi setara Sabah dan Sarawak, sejajah Perjanjian Malaysia 1963.

Dengan baki lebih kurang 70 hari lagi, pentadbiran kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad sudah berjaya melaksanakan apa yang gagal dilakukan oleh rejim Najib Razak sepanjang hampir sepuluh tahun mengepalai negara.

Bahkan pentadbiran Dr Mahathir harus membersihkan daki-daki yang ditinggalkan rejim durjana ini, termasuklah hutang berbilion yang mencecah trilion jika mengambil kira liabiliti luar jangka yang dijamin kerajaan.

Malaysia Baharu kini mempunyai demokrasi yang begitu rancak sekali. Apa tidaknya dengan keterlibatan umum menjadi agen semak-imbang kepada setiap tindak tanduk kerajaan, termasuk menegur secara terbuka di media-media sosial. Yang jadi syok, kerajaan tidak pula membungkam suara-suara menegur ini, bahkan pantas bertindak atas teguran-teguran tersebut.

Sebulan sebagai kerajaan, massa rakyat sudah tidak lagi merasa segan untuk berpartisipasi dalam proses politik; sedangkan dahulunya masing-masing malas ambil tahu, merasakan politik adalah permainan kuasa yang kotor dan mengundang padah.

Sebulan menjadi kerajaan, PH telah merealisasikan sebuah pentadbiran di mana rakyat tidak lagi takut kepada pemerintah, dan rakyat tidak lagi diperintah-perintah. Jauh sekali berbeza dengan pentadbiran BN yang bingkas menangkap, mendakwa dan memenjara mereka yang dituduh “menghasut” demi kemandirian politik yang ternyata memakan diri.

Sebulan membentuk kerajaan, PH telah melangsaikan 60% janji 100 harinya; tanpa mempedulikan usaha sesetengah pihak yang kalut mengejar janji manifesto, macamlah dia yang mengundi menyokong manifesto itu pada 9 Mei lalu.

Sebulan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya, Malaysia sudah terasa begitu berbeza. Bagaimana agaknya keadaan Malaysia dalam masa kurang 60 bulan lagi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15?

Meminjam bahasa anak-anak muda pengguna aplikasi WeChat, “Happy Monthversary” PH. Tolonglah jangan kecewakan kita semua rakyat Malaysia. – 11 Jun, 2018.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen