PEGUAM Negara yang baru dilantik, Tommy Thomas berkata “pendakwaan berpilih akan segera dihentikan” dan semua rakyat yang mematuhi undang-undang tidak perlu lagi takut kepada penindasan dari pihak berkuasa.
“Mereka yang tak buat apa-apa kesalahan tak perlu takut. Malaysia ialah negara bebas. Kita tak perlu takut polis ketuk rumah di waktu malam,” Thomas memberitahu wartawan pada sidang akhbar pertamanya sejak mula dilantik.
“Bagi mereka yang melanggar undang-undang, (mereka) akan dikenakan tindakan tanpa mengira kedudukan.
“Bagi pihak saya, saya berjanji akan melakukan perkara yang betul untuk memberitahu kebenaran dan melaksanakan keadilan,” katanya.
Thomas melapor diri di pejabatnya selepas menerima surat pelantikan pagi tadi. Yang di-Pertuan Agong telah berkenan dengan pelantikan Thomas semalam selepas menemui jalan buntu selama tiga minggu.
Thomas memberitahu, sebagai “penjaga kepentingan awam”, beliau akan mengambil kira kepentingan dan keprihatinan rakyat secara umumnya.
Ditanya sama ada beliau akan menjalankan tugas “tanpa takut dan hutang budi” dibandingkan dengan tuduhan berat sebelah kepada bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, Thomas menjawab: “Saya tak boleh komen tentang orang lama sebelum saya.”
“Saya sudah berjumpa dengan perdana menteri. Dan dia sudah beri saya kebebasan di Jabatan (Peguam Negara). Itu bukan masalah. Tidak akan ada campur tangan.
“Saya tak boleh komen benda dah lepas. Saya hanya boleh beritahu apa yang saya akan buat,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin semalam berkata Apandi tidak terlepas daripada siasatan sekiranya ada pihak yang buat laporan.
“Kalau ada laporan tidak kisah ia peguam negara atau tak (kita akan siasat) dan kita kena tengok juga sama ada kes itu prima facie atau tidak,” katanya.
Apandi membebaskan Najib daripada sebarang tuduhan salah laku berkaitan 1MDB walaupun siasatan ke atas dana pelaburan negara itu dijalankan oleh pihak berkuasa sekurang-kurangnya enam negara asing.
Bekas peguam negara itu juga dituduh Jabatan Kehakiman Negara AS (DoJ), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Peguam Negara Swizterland tidak memberikan kerjasama dalam siasatan 1MDB. – 6 Jun, 2018.
Komen