SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyerbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merampas dokumen jualan tanah bertarikh sejak 2008, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.
Beliau berkata SPRM mengambil set lengkap laporan yang dibuat semasa pentadbiran bekas datuk bandar Ahmad Fuad Ismail iaitu dari 2008 hingga 2012.
“Mereka mengambil semua sejarah penjualan tanah, kos dan tujuan penjualan tanah ketika Fuad memegang jawatan sehinggalah perjanjian semasa.
“Semua maklumat ada dalam laporan dan mereka boleh mengaksesnya,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Semalam, SPRM menyerbu Menara DBKL dan merampas dokumen berkaitan penjualan 64 lot tanah milik DBKL bernilai RM4.28 bilion.
Menurut Bernama, sumber SPRM berkata suruhanjaya itu telah memulakan siasatan berhubung kes berkenaan sejak bulan lepas dan tindakan menyita dokumen tersebut adalah susulan siasatan yang dijalankan.
Dokumen berkenaan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Amin berkata dokumen yang dirampas dari Jabatan Perancang Ekonomi dan Pembangunan adalah mengenai penjualan tanah milik DBKL.
Beliau berkata semasa serbuan, pegawai-pegawai DBKL telah memberikan kerjasama kepada pegawai-pegawai SPRM. – 6 Jun, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen