BUSTARI Yusof, ahli perniagaan kaya-raya dari Sarawak merupakan orang kanan Najib Razak. Beliau sebelum ini tidak begitu dikenali ramai dan kini bakal meraih lebih banyak kekayaan.
The Malaysian Insight difahamkan syarikat Bustari telah diperuntukkan sebahagian besar projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Selangor. Nilai kontrak untuk segmen projek infrastruktur gergasi itu dikatakan bernilai RM9 bilion.
Laporan media membayangkan beliau sudah meninggalkan negara tetapi adiknya yang juga bekas menteri kerja raya, Fadillah Yusof berkata, Bustari masih ada di dalam negara.
Penjelasan Fadillah mencetuskan reaksi yang lebih buruk, apabila beliau tidak muncul bekerjasama dengan polis dan menjelaskan sumber wang tunai dan pelbagai barangan berharga yang ditemui di apartmen di tengah Kuala Lumpur itu. Perkara ini menjadi buah mulut rakyat Malaysia.
Sebelum PRU14, hanya golongan dalam lingkungan Najib dan pegawai kanan kerajaan yang tahu betapa bekas perdana menteri bergantung pada Bustari, dan betapa besar pengaruh ahli perniagaan itu.
Bustari barangkali menyimpan banyak rahsia kerana beliaulah satu-satunya individu yang berada dalam kedua-dua lingkungan perniagaan dan politik Najib.
Syarikat yang dikuasai oleh Bustari, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd, merupakan rakan kongsi projek Lebuh Raya Pan Borneo yang bernilai RM27 juta. LBU dijangka memperoleh RM1.3 bilion daripada projek lebuh raya itu.
Sebuah lagi syarikat Bustari, One Medicare Sdn Bhd, juga mendapat konsesi 10 tahun untuk mengendali dan mengurus perkhidmatan sokongan hospital di Sarawak.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Bustari menerima dukungan pentadbiran Najib untuk mendapat sebahagian daripada ECRL, projek landasan merentas tiga negeri yang disokong oleh China.
Pada Oktober 2016, kerajaan memeterai perjanjian dengan China Communications Construction Company untuk membina landasan kereta api itu dari Kelantan ke Selangor.
Pemimpin Pakatan Harapan mengkritik kewajaran projek itu dengan mengatakan kos keseluruhannya melambung sehingga lebih daripada RM55 bilion yang diumumkan kerajaan Najib.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia mahu merundingkan semula terma projek ECRL dengan Beijing. – 5 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan