POLIS yakin dapat mengambil tindakan terhadap pemimpin kontroversi Umno, Jamal Yunos yang kini diburu selepas dipercayai melarikan diri keluar Malaysia minggu lalu, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata pihak polis sudahpun mendapatkan persetujuan kerjasama polis Indonesia untuk mengesan Jamal yang dikatakan berada di negara itu.
“Kalau boleh hari ini nak tangkap (Jamal) tapi soal proses dan prosedur itu mesti ada, ketua polis pun ada di sini dan mereka telah beritahu kepada saya mereka telah maklum dengan pihak berkuasa kepolisian di Indonesia tentang masalah itu dan minta supaya diberikan kerjasama dan saya berharap mereka akan diberikan kerjasama dan bekerjasama dengan kita untuk memastikan pihak-pihak yang disebutkan tadi dibawa ke muka pengadilan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama pasukan polis selama lebih dua jam di Bukit Aman hari ini.
Rabu lalu, Jamal gagal tampil di Ibu Pejabat Polis Ampang walaupun sehari sebelum itu berjanji akan datang untuk diambil keterangannya.
Dia sebaliknya muncul dalam sebuah rakaman video meminta Muhyiddin memberi jaminan yang dia tidak akan “dizalimi” sekiranya menyerah diri.
Menurut laporan Sin Chew Daily Khamis lalu pula, ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu kini bersembunyi di Tanjung Balai, Karimun Besar, di barat daya pesisir Johor.
Polis Selangor juga mengumumkan akan memohon waran tangkap ke atas pemimpin akar umbi Umno kontroversi itu selepas Jamal enggan memberi kerjasama membantu siasatan.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberitahu yang polis sedang mengesan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang kini dipercayai berada di luar negara.
“Memang dia (Musa) antara orang yang dicari pasal ada laporan polis telah dibuat terhadap apa yang berlaku di Sabah jadi saya fikir polis akan bertindak mencari di mana beliau dan bawa mereka pulang untuk dihadapkan ke muda pengadilan.”
Musa berdepan beberapa siasatan kerana dakwaan melakukan pemerasan jenayah terhadap Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin ketika krisis ketua menteri Sabah selepas pilihan raya umum lalu. – 4 Jun, 2018.
Komen