Bimbang dizalimi Pakatan, Jamal mohon perlindungan Muhyiddin


Radzi Razak

SELEPAS tidak hadir ke balai polis walaupun sudah berjanji untuk memberikan keterangan, Jamal Yunos muncul dalam satu video menggesa menteri dalam negeri memberi perlindungan kepadanya. 

Ketua Gerakan Baju Merah itu berkata, sebab utama dia masih tidak muncul adalah kerana bimbang akan dizalimi kerajaan Pakatan Harapan. 

“Saya mohon Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin (Yassin) memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya. 

“Saya melihat apa yang berlaku kepada saya hari ini seperti mana Tun Mahathir menzalimi Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya ketika dahulu,” katanya dalam video berdurasi 7 minit 36 saat yang disebarkan kepada media kira-kira jam 4.30 petang tadi. 

Dalam video tersebut, Jamal memakai baju t-shirt berwarna hitam berada di sebuah ladang kelapa sawit yang tidak dikenal pasti, berkata dia kini berdepan tekanan hebat daripada pihak berkuasa yang menyerbu kediamannya dan menyenarai hitam namanya dari keluar negara. 

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila yang berlaku terhadap saya ini nama saya disenarai hitamkan dan diletak dalam langkah keselamatan khas oleh PDRM, rakan-rakan saya yang dua tahun lalu terlibat dengan Gerakan Baju Merah ditangkap dan dituduh sekarang ini minggu lepas SPRM menyerbu kediaman saya pejabat dan beberapa tempat lain.

“Saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya dipecah, diserbu oleh polis, kediaman ibu saya, rakan-rakan saya ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang walaupun saya telah berjanji semalam,” katanya.

Sebentar tadi, peguam Jamal, Mohd Imran Tamrin merayu agak anak guamnya untuk segera memberi kenyataan kepada polis selepas hilang sebelum sempat melengkapkan proses dokumentasi ikat jamin di sebuah hospital Jumaat lalu. 

Semalam, Jamal dalam satu rakaman audio berjanji untuk hadir ke IPD Ampang Jaya di sini untuk memberi penjelasan berkaitan kejadian itu. 

Jamal yang juga ketua Gerakan Baju Merah itu didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ekoran mengetuai bantahan penganjuran “Better Beer Festival 2017” (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 5 Oktober lalu.

Jamal juga disiasat mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat sebelum ini meminta Jamal tampil menyerah diri ke balai polis bagi memberi keterangan berkaitan kehilangannya. – 30 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen