Sudah kahwin, tapi belum bernikah


Izmil Amri

JUMAAT lalu, guru saya Wan Hamidi Hamid, bersurah panjang tentang nasib dua parti kecil yang kecundang menonggeng dalam pilihan raya lalu. Kedua-dua Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) mendiami satu titik lunak di hati saya, sebagai seorang yang tidak segan mengaku ‘kiri’.

Saya bahkan pernah menulis tentang bagaimana PSM harus terkedepan menerajui blok pembangkang setelah United Malays National Organisation merentas dewan, meninggalkan blok kerajaan. Ramai yang menyangkakan saya sinis terhadap PSM, walaupun sebenarnya saya jujur berkata demikian.

PSM sebagai parti yang memilih untuk ketinggalan dalam gabungan parti-parti pembangkang ketika seluruh negara bersiap untuk menumbangkan rejim Barisan Nasional, pastinya telah membuat keputusan untuk kekal sebagai sebuah parti pembangkang. Justeru, sebagai sebuah parti yang tegar dengan prinsip, ia wajar terus memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang berfungsi dengan penuh wibawa.

Begitu juga dengan PRM. Parti ini tempoh hari dibajak dengan wang ringgit dan keanggotaan baru yang muncul entah dari celah mana sehingga laman Facebook rasminya pun mengkritik perubahan-perubahan aneh yang sedang berlaku. Lambang seladangnya bertukar jadi maskot lembu kotak susu.

Namun apabila bercakap tentang perubahan dalam kalangan parti pembangkang, tiada perubahan yang lebih kita nantikan selain masa depan ‘transformasi’ UMNO menjadi parti pembangkang.

Pernikahan yang tertangguh

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Rahman baru-baru ini menyatakan keperluan Umno untuk mencari ‘rakan seperjuangan’ demi perjuangan bangsa, agama Islam dan kepentingan orang Melayu.

Tajuddin juga dikhabarkan bakal merebut jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti pembangkang itu yang bakal berlangsung hujung bulan ini. Mesej ‘rakan seperjuangan’ ini tentu akan dibawa dalam siri kempennya ke bahagian-bahagian. Ketua-ketua bahagian akan perlu mempertimbangkan keperluan untuk bersekutu dengan ‘rakan’ saranan Tajudin.

“Orang Umno saya rasakan di akar umbi bersedia untuk bekerjasama dengan PAS. Saya boleh kata begitu kerana orang Umno dapat terima jika kita dapat wujudkan satu kerjasama walaupun berlainan parti serta mempunyai kaedah politik berbeza tetapi persamaan tetap ada,” ujar Tajuddin.

Katanya lagi dalam satu rakaman yang dikongsi di laman sosial, PAS dan Umno mempunyai hala tuju perjuangan yang sama.

“Atas keinsafan ini, saya harap pihak PAS menyedari perkara ini yang mana kita perlu bergabung pemikiran,tenaga,satu perjuangan dan saya percaya satu kekuatan baru akan wujud dalam politik tanah air kita serta kelangsungan hak orang Melayu,” katanya, selain menekankan tentang keperluan taktik politik baru buat parti yang masih belum habis terkejut itu.

Umno tidak bersedia untuk tewas dan tidak bersedia untuk menjadi parti pembangkang. Itu hakikat yang belum mereka hadam. Dan kerana itu, kita masih melihat bagaimana Umno tergapai-gapai dengan kerja-kerja membangkang, tanpa idea, tanpa gagasan dan tanpa sebarang perkara baharu untuk ditawarkan kepada Malaysia.

Barangkali Tajuddin menyedari hal ini. Barangkali Tajuddin tahu hanya PAS yang boleh diharapkan untuk menuntun tangan partinya agar menjadi pembangkang yang mengerti selok belok kerja membangkang.

Maka moleklah kiranya pernikahan PAS-Umno yang telah tertangguh cepat-cepat dilangsungkan. Tak perlu lagi berahsia dan bercinta secara sorok-sorok.

Natijah pernikahan Umno-PAS

Hasil pernikahan Umno-PAS ini nanti, tidak kiralah kalau terputus di tengah jalan atau kekal ke anak cucu, adalah blok pembangkang yang terbina atas teras kaum dan agama. Pendeknya, pembangkang yang konservatif.

Bukan sahaja ia konservatif, blok pembangkang akan saling berlumba siapa yang lebih konservatif, siapa yang lebih tinggi Islamnya, siapa yang lebih Melayu, siapa yang lebih rajin qiyamullail, siapa yang sanggup puasa Isnin Khamis, siapa yang lebih beriya mahu laksanakan hudud, siapa yang lebih panjang kerisnya; dan begitulah seterusnya.

Lebih malang lagi, kedua-dua parti konservatif ini sedang galak dilanda masalah kepimpinan.

PAS, sehingga hari ini masih sukar menerima hakikat bahawa partinya kembali menjadi parti lebai pra-Fadzil Noor dan tersudut di Kelantan dan Terengganu kerana ia berpresidenkan Abdul Hadi Awang; seorang alim yang tidak pandai berpolitik.

Kita semua barangkali jenuh menahan ketawa menonton wawancaranya dengan Astro Awani. Lain ditanya, lain yang dijawab. Seperti ayam bersembang dengan itik. Entah apalah yang dahulu dijawabnya kepada agen-agen Umno yang datang bersembang dengannya tentang RUU355. Padanlah lima kali tak jadi bentang.

Umno pula seharusnya bubar sahaja. Khairy Jamaluddin dan gerombolannya patut tubuhkan parti baharu. Jika tidak, sampai kiamatlah ia akan terus dipimpin kaki kelepet dan ia tidak akan berubah sama sekali.

Kecuali barangkali menukar songkok menjadi kupiah. – 4 Jun 2018

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen