PEGUAM dan aktivis perundangan Syahredzan Johan mencadangkan satu moratorium (sekatan sementara) terhadap semua dakwaan bermotif politik yang digunakan kerajaan dahulu untuk disemak semula oleh peguam negara yang baru.
Beliau berkata lambakan kes yang menggunakan Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta pelbagai lagi kes, termasuk kes anakguamnya Fahmi Reza yang didakwa kerana melukis karikatur mengkritik kerajaan terdahulu sepatutnya diambil peduli oleh golongan perundangan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.
“Kes akta hasutan, kes melibatkan seksyen 233, kes-kes yang bermotifkan politik. Sepatutnya kita adakan moratorium, kita gantung kes-kes ini sampailah ia dapat disemak semula oleh peguam negara baru,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Syahredzan, Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek yang kini mengetuai Jabatan Peguam Negara boleh mengeluarkan arahan untuk menggantung semua pertuduhan bermotif politik berkenaan.
“Kerajaan kata mereka mahu semak undang-undang seperti ini.
“Saya harap peguam cara negara dapat memberi arahan supaya jangan teruskan kes ini sehinggalah ia diputuskan oleh peguam negara yang bakal dilantik kelak,” kata beliau.
Peguam Negara (AG) Mohamed Apandi Ali diarahkan bercuti berkuatkuasa serta-merta pada 14 Mei lalu oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sementara itu, Fahmi ketika ditemui berkata beliau akan terus memperjuangkan hak untuk mengkritik pemerintah menerusi seni.
“Sepatutnya kes ini sudah digugurkan. Hanya kerana aku melukis karikatur pemimpin politik.
“Ini sesuatu yang tak patut kita terima. Sepatutnya kita ada hak untuk kritik pemerintah. Tak kira siapa.
“Aku akan terus pertahankan hak aku mengkritik pemerintah seni dan satira,” kata beliau.
Permohonan Fahmi untuk menangguhkan perjalanan kes ini ditolak oleh Hakim Zaman Mohd Noor di Mahkamah Jenayah Siber, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Hakim mengarahkan agar perbicaraan kes, yang dijadualkan hari ini, Rabu dan Khamis diteruskan memandangkan saksi hadir.
Saksi pertama pendakwaan Mohd Ali Baharom, bekas wakil NGO Baju Merah yang menyokong kerajaan sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap Fahmi dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pada Februari 2016 kerana karikatur badut yang dikatakan menyerupai bekas perdana menteri Najib Razak.
Bagaimanapun keterangan Ali agak tidak jelas apabila beliau keliru membezakan antara media sosial dan beberapa kali tidak dapat menerangkan tempat pertama kali beliau melihat karya Fahmi yang dikatakan menyakitkan hati itu.
Saksi kedua Saiful Ridwan Mohd Darus, bekas pegawai forensik digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula mengesahkan imej itu dimuatnaik oleh Fahmi dan dikongsi oleh ramai pengguna media sosial lain.
Fahmi sebelum ini dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melibatkan karikatur yang sama yang dimuat naik ke Facebook pada Februari 2016. Kes itu sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Selepas dijatuhi hukuman, Fahmi berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai dalam masa 24 jam untuk membayar dendanya.
Perbicaraan bersambung pada petang Rabu ini. – 28 Mei, 2018.
Komen