Fahmi Reza mahu kes karikatur badut ditarik balik


The Malaysian Insight

PELUKIS grafik, Fahmi Reza akan membuat permohonan di mahkamah supaya pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dijadual dibicarakan esok ditarik balik kerana bermotifkan politik.

Peguamnya, Syahredzan Johan berkata pihaknya akan menghantar surat representasi kepada Peguam Negara memohon kes itu ditarik balik kerana menggunakan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara.

Semakan semula itu juga sejajar dengan janji Pakatan Harapan (PH) mahu menyemak semula bukan saja pertuduhan terhadap anak guamnya tetapi semua kes berunsur politik semasa pentadbiran Najib dan membetulkan manipulasi kerajaan sebelum ini.

“Bagi saya sendiri, buat masa ini Pejabat Peguam Negara tidak patut teruskan kes melibatkan Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga undang-undang lain yang menyekat kebebasan,” kata Syahredzan kepada The Malaysian Insight.

Fahmi selama ini mempertahankan pendirian bahawa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik, tambah beliau.

Fahmi dijadual dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selama tiga hari bermula esok atas tuduhan memuat naik imej karikatur badut menyerupai Najib Razak di Instagram pada 31 Januari 2016, dengan niat menyakitkan hati.

Beliau sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melibatkan karikatur yang sama yang dimuat naik ke Facebook pada Februari 2016. Kes itu sedang dalam proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Selepas dijatuhkan hukuman, Fahmi berjaya mengumpulkan sumbangan orang rami dalam masa 24 jam untuk membayar dendanya.

Sementara itu, kartunis Zunar menyokong usaha Fahmi membuat permohonan agar kes terhadapnya ditarik balik kerana apa yang beliau lakukan dengan karikaturnya adalah kritikan terhadap kerajaan melalui seni, dan katanya, mengkritik kerajaan bukanlah satu kesalahan.

“Sebagai seorang kartunis, Fahmi melakukan kerjanya dengan baik. Ini juga dilakukan oleh kartunis, pereka grafik dan pelukis di seluruh dunia yang menyuarakan pendirian dan mengkritik kerajaan yang memerintah.

“Itu sebabnya saya dapati kes itu tidak boleh diterima. Ia bertentangan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan kita,” kata beliau.

Zunar sendiri sebelum ini berdepan beberapa pertuduhan di mahkamah kerana kononnya menghina melalui kartunnya yang mengkritik kerajaan. Sekatan perjalanannya baru-baru ini dibatalkan oleh Imigresen beberapa hari selepas Barisan Nasional kalah Pilihan Raya Umum ke-14. – 27 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen