PERDANA Menteri Anwar Ibrahim harus dipersalahkan atas kekeliruan mengenai peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam pentadbiran, kata P Ramasamy.
“Anwar pernah berkata Jakim perlu melangkaui peranan tradisionalnya.
“Ini ditafsirkan sebagai Jakim melantik pegawai di jabatan kerajaan untuk mengkaji dasar-dasar yang selari dengan Islam.
“Amalan sebegini jika dilaksanakan mungkin menimbulkan masalah bagi masyarakat majmuk dan pelbagai etnik di Malaysia,” kata pengerusi Urimai hari ini.
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata Anwar sendiri perlu menjelaskan perkara ini memandangkan beliau adalah orang yang bertanggungjawab mencipta kekeliruan mengenai peranan Jakim yang diperluas.
Awal minggu ini, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) melahirkan kebimbangan mengenai langkah kerajaan yang didakwa akan meletakkan pegawai dari Jakim di jabatan-jabatan kerajaan.
Majlis antara agama itu berkata langkah sebegini boleh memberi kesan kepada hak-hak asas dan perlindungan yang disediakan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Mccbchst merujuk kepada laporan berita Ogos di mana Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) David Ong menyuarakan kebimbangan tentang laporan pegawai Jakim akan ditempatkan di setiap jabatan kerajaan untuk memastikan keputusan selaras dengan prinsip Islam.
Semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di jabatan kerajaan telah disalahertikan.
Beliau berkata dakwaan pegawai Jakim akan terlibat dalam penggubalan dasar adalah tidak benar.
“Dalam kementerian saya, tiada pegawai Jakim. Ini dakwaan tidak berasas.”
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga meminta Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan menteri hal ehwal agama Na’im Mokhtar bertemu MCCBCHST untuk mendengar pandangan mereka dan jelaskan isu tersebut.
“Semasa ucapannya pada pelancaran Forum Madani mengenai Etika Perbezaan Pendapat dalam Memperkukuhkan Perpaduan Negara pada Julai, Anwar berkata Jakim memainkan peranan yang lebih besar dalam kerajaan perpaduan berbanding dengan pentadbiran persekutuan sebelum ini.
Beliau berkata Jakim tidak lagi sekadar sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal agama Islam tetapi juga memberikan input untuk agenda pembangunan negara. – 4 September, 2024.
Komen