MALAYSIA akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan tambahan bagi membantu rakyat Palestin yang cedera jika ada keperluan tetapi terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai perkara itu sekarang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun beliau berkata tiada perbincangan lagi mengenai fasa bantuan seterusnya untuk rakyat Palestin yang cedera.
“Setakat ini tiada perkembangan mengenai fasa seterusnya. Fasa awal tertumpu kepada penyediaan rawatan perubatan (rakyat Palestin yang cedera dibawa ke Malaysia) dan rakyat Palestin yang pulih akan dihantar pulang. Kami mengambil pendekatan yang tenang dan berhemah buat masa ini.
“Selepas itu kami akan berunding dengan Mesir (yang menempatkan rakyat Palestin) serta dengan Arab Saudi, Turki, dan Qatar.”
“Kami akan menilai jika perbincangan lanjut diperlukan. Untuk sekarang keutamaan kami adalah memastikan mereka yang cedera menerima rawatan dan sihat dahulu. Terlalu awal untuk membuat keputusan lanjut,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Masjid Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin (MM4AP) sempena Hari Masjid Antarabangsa 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini.
Pada 15 Ogos Malaysia menghantar 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk seorang bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di hospital tentera di Kuala Lumpur.
Misi kemanusiaan ini yang dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan pesakit-pesakit dari Kaherah ke Kuala Lumpur. – 25 Ogos, 2024.
Komen