Jagdeep bercuti atas alasan kesihatan, kata KM Pulau Pinang


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meluluskan permohonan cuti Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo atas alasan kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2024.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini berkata beliau meluluskan permohonan cuti Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo atas alasan kesihatan.

Beliau juga berkata bahawa tidak ada rancangan atau perbincangan untuk menamakan orang lain untuk memikul tugas Jagdeep.

“Kami berharap beliau akan kembali segera untuk meneruskan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya dipetik New Straits Times hari ini.

Katanya, Jagdeep bertemu dengannya pada Jumaat lalu untuk memohon cuti.

“Beliau menjelaskan, tujuan permohonan cutinya adalah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mungkin prosedur pada kaki kirinya yang memerlukan perhatian pakar segera.

“Selepas mempertimbangkan penjelasannya, saya meluluskan permohonan cutinya selama 11 hari, bermula semalam hingga 5 Ogos.

“Saya juga dimaklumkan dia mula menerima rawatan semalam,” kata Chow.

“Mengenai spekulasi akan berlaku pertukaran jawatan yang disandangnya sekarang, ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini,” tambahnya,

Sementara itu, ahli politik tempatan menggesa semua orang berhenti membuat spekulasi mengenai cuti Jagdeep.

Naib Presiden Gerakan Baljit Singh Deo berkata sekarang bukan masanya untuk memikirkan spekulasi tetapi mendoakan agar beliau cepat sembuh daripada penyakitnya.

“Kami berharap Jagdeep dapat pulih dan kembali berkhidmat di negeri tercinta. Kami mendoakan yang terbaik untuk beliau,” kata Baljit ketika dihubungi.

Bekas timbalan setiausaha agung PKR S. Raveentharan berkata bahawa tiada masa untuk mempolitikkan keadaan.

“Saya rasa Jagdeep hanya memerlukan masa untuk mendapatkan rawatan bagi penyakitnya dan kita harus menghormati kedudukannya daripada percaya kepada spekulasi liar,” katanya.

Anak sulung pemimpin ikonik DAP Karpal Singh, Jagdeep mendapati dirinya berdepan masalah kesihatan kerana menjalani prosedur katarak hingga masalah sendi di buku lali selepas jatuh tahun lepas yang memerlukan pembedahan di Hospital Gleneagles di Pulau Pinang.

ADUN empat penggal Datuk Keramat itu kini menjadi timbalan pengerusi DAP negeri menggantikan Dr P. Ramasamy, yang keluar parti selepas dihalang daripada bertanding untuk penggal keempat di kerusi DUN Prai.

Jagdeep dilaporkan berkata semalam dia sedang berehat sebentar atas sebab kesihatan dan dia akan kembali bekerja tidak lama lagi.

Dia juga menolak dakwaan dia mengambil langkah mundur dari tugas rasmi di tengah-tengah khabar angin bahawa dia sedang bercuti. – 23 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen