Keputusan Speaker tak jejaskan anti lompat parti DAP, kata Loke


Anthony Loke percaya peraturan anti lompat parti DAP tidak terjejas oleh keputusan Speaker membenarkan enam bekas ahli Parlimen Bersatu mengekalkan kerusi mereka di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2024.

ANTHONY Loke percaya peraturan anti lompat parti DAP tidak terjejas oleh keputusan Speaker membenarkan enam bekas ahli Parlimen Bersatu mengekalkan kerusi mereka di Parlimen.

Setiausaha Agung DAP itu berkata ini kerana tidak seperti Bersatu, partinya menggubal peruntukan tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Maka semua calon yang bertanding atas tiket kita sebagai calon daripada parti DAP telahpun terikat dengan fasal dalam perlembagaan parti tersebut iaitu sekiranya seseorang itu tidak menghindari ataupun tidak mengikut perintah ataupun arahan daripada pucuk kepimpinan, maka kerusi itu akan dikosongkan melalui notis kepada speaker.

“Dalam kes Bersatu, apa yang saya difahamkan oleh pandangan-pandangan daripada beberapa perguam dan juga termasuk daripada Biro Guaman kita, dalam kes Bersatu, mereka adalah sedikit berlainan sebab pindaan perlembagaan itu berlaku selepas pilihan raya umum,” katanya katanya seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak usaha Bersatu untuk menyingkirkan enam ahli Parlimen yang kehilangan keahlian parti mereka selepas gagal mematuhi peraturan yang dikemas kini.

Peraturan tersebut serupa dengan yang dilaksanakan oleh DAP, Amanah dan Umno yang menghukum dengan membatalkan keahlian mereka.

Enam ahli Parlimen tersebut sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bertentangan dengan pendirian parti sebagai pembangkang.

Enam ahli Parlimen tersebut ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – 10 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen