MCA tolak cadangan jadikan Langkawi destinasi pilihan Muslim, kata Wee


Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng berkata sebarang cadangan menukar Langkawi menjadi destinasi pilihan Muslim akan mengundang kesan negatif. – Gambaar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2024.

SEBARANG cadangan untuk menukar Langkawi menjadi destinasi pilihan Muslim akan mengundang kesan negatif dalam usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini, kata Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng hari ini.

Beliau berkata dasar terlalu agama atau konservatif seperti itu boleh menyalahgambarkan Malaysia sebagai berfikiran tertutup dan merosakkan industri pelancongan negara.

“Tumpuan harus kekal pada kepelbagaian dan keterangkuman untuk mengekalkan tarikan Langkawi kepada semua pelancong.

“Kami menyeru Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk mempertimbangkan semula cadangan ini bagi memastikan Langkawi mengekalkan daya tarikan pelancongannya yang terbuka dan pelbagai untuk semua pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Isnin Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Khairul Firdaus Akbar Khan mencadangkan Langkawi dijadikan “destinasi Muslim pilihan” untuk bersaing dengan pulau lain di rantau ini bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) yang akan datang.

Khairul berkata satu cara untuk Malaysia bersaing dengan negara lain adalah dengan memberi tumpuan kepada sektor khusus.

“Kita tahu Langkawi mungkin bergelut untuk bersaing dengan pulau-pulau lain di rantau ini.

“Oleh itu, kami sedang mempertimbangkan untuk meletakkan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim bertujuan untuk menjadikannya lebih berorientasikan keluarga dan (pelancongannya) tertumpu kepada aspek rohani,” katanya di Dewan Rakyat.

Wee yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai berkata cadangan itu sempit, kurang berpandangan jauh dan berisiko memberi kesan negatif kepada industri pelancongan Malaysia.

“Melabelkan Langkawi berdasarkan agama boleh menghalang pelaburan asing dan menjejaskan daya tarikan Malaysia kepada perniagaan antarabangsa.

“Ia juga bercanggah dengan nilai kepelbagaian dan kesederhanaan Malaysia yang berpotensi mencemarkan imej global kita.

“Langkawi terkenal sebagai destinasi inklusif dengan dasar bebas cukai dan pantai yang bersih, menarik pelancong di seluruh dunia. Mentakrifkannya semula untuk pelancongan Muslim boleh mengurangkan daya tarikannya dan membawa kepada kerugian kewangan,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing menggesa Kedah supaya tidak mengenakan syarat agama kepada pelancong di Langkawi.

Tambahnya beliau menerima aduan daripada pelancong bukan Islam bahawa pihak berkuasa tempatan di Langkawi mengganggu mereka kerana etika berpakaian dan pengambilan alkohol.

Menteri Besar Sanusi Nor bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. – 26 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen