Lebih ramai mangsa banjir dipindahkan di Sabah


BILANGAN mangsa banjir di Sabah terus meningkat dengan 464 orang dari 140 keluarga di empat pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 328 orang (105 keluarga) semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah, bilangan mangsa di PPS Pusat Kebudayaan Penampang meningkat kepada 279 mangsa (93 keluarga) berbanding 165 mangsa dari 67 keluarga semalam.

“Bilangan mangsa di PPS Dewan Sri Putatan meningkat kepada 138 mangsa dari 34 keluarga berbanding 116 mangsa dari 25 keluarga semalam,” menurut kenyataan tersebut.

Bilangan mangsa di dua PPS di Tuaran kekal sama dengan 29 mangsa dari lapan keluarga masih di PPS di Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh dan 18 orang dari lima keluarga masih ditempatkan di Dewan Balai Raya Kampung Bontoi berhampiran Tamparuli.

Sementara itu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menyatakan Jalan Lintas Luagan, Sipitang di Kilometer (KM) 0.5 hingga KM 1.55 ditutup kepada semua kenderaan kerana jalan tersebut dilanda banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di pedalaman Sabah iaitu Kuala Penyu dan Beaufort. – 1 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen