PRK Sg Bakap: Tiada pusat pengundian awal dibuka, kata SPR


TIADA pusat pengundian awal akan dibuka pada hari pengundian awal bagi PRK Sungai Bakap pada 2 Julai ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut laporan Bernama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Bakap Khairulnizam Hashim, berkata kesemua pengundi awal pada PRK itu, yang terdiri daripada 57 anggota polis, mengundi sebagai pengundi pos.

“Tidak ada pengundian awal kerana semua pengundi awal telah memohon untuk mengundi secara pos,” katanya.

Beliau berkata SPR akan mengeluarkan kertas undi pos untuk dikutip oleh pengundi awal yang terlibat pada 2.30 petang Isnin (23 Jun).

Daftar pemilih bagi kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi, terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 pegawai polis.

Seramai 522 petugas pilihan raya akan menguruskan proses pilihan raya kecil, manakala lebih 600 pegawai polis akan ditempatkan bagi memastikan keselamatan.

Pada pilihan raya Pulau Pinang Ogos lalu, Nor Zamri, yang merupakan Ketua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan 1,563 undi.

PRK Sungai Bakap merupakan pilihan raya kecil kelapan diadakan selepas pilihan raya umum 2022.
 
Tempoh kempen bermula hari ini dan berakhir sebelum tengah malam pada 5 Julai.

6 Julai adalah hari pengundian dan pengundian awal pada 2 Julai. – 23 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen