SPR digesa perluas skop undi pos


KUMPULAN pembaharuan pilihan raya, Tindak Malaysia menggesa pindaan undang-undang pilihan raya untuk mengiktiraf mereka yang tinggal di luar kawasan tetapi di dalam negara sebagai pengundi pos.

Pada masa ini hanya rakyat Malaysia yang berada di luar negara sahaja yang diiktiraf sebagai pengundi pos.

Pengundi yang bekerja atau berada di luar kawasan mengundi mereka di Malaysia terpaksa pulang untuk mengundi, dan ini terbukti menyukarkan, terutamanya mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi tinggal di semenanjung.

Dalam pilihan raya lalu, masyarakat awam telah menganjurkan penerbangan ihsan atau tambang subsidi untuk pengundi ini pulang ke tempat mereka untuk mengundi.

Tindak Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) mesti dipinda untuk memastikan integriti pilihan raya dan keterangkuman penduduk dewasa Malaysia.

Kumpulan itu juga mahu Suruhanjaya Pilihan Raya menjadikan polisi rasminya menyalurkan pengundi daripada latar belakang orang kelainan upaya (OKU) dan pengundi tua kepada saluran mengundi paling mudah sebagai subperaturan.

Tindak Malaysia berkata SPR telah memperkenalkan dan mengekalkan dasar/konvensyen progresif seperti mengutamakan pengundi OKU untuk disalurkan ke saluran pengundian yang pertama atau paling sesuai untuk tujuan hari pengundian sejak 2019 dan ini juga diterapkan kepada pengundi warga emas sejak beberapa dekad ini.

Bagaimanapun ia mahu dasar ini dirasmikan melalui pindaan undang-undang.

“Kami menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan Malaysia untuk mengkaji secara menyeluruh dan mempertimbangkan cadangan kami untuk memulakan pusingan baharu pindaan bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh sistem pilihan raya di negara kita dengan lebih baik,” katanya. – 7 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen