60% keluar mengundi di Kemaman setakat 4 petang, kata SPR


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70% daripada 141,043 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2023.

PERATUSAN keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman mencecah 60%, setakat 4 petang ini.

Jumlah itu hampir mencapai sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjangkakan 70% pengundi dari 141,043 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat mengundi ditutup 6 petang ini.

Sejak kesemua 49% pusat mengundi dibuka 8 pagi tadi, cuaca di Parlimen Kemaman kekal cerah setakat ini, memudahkan proses mengundi dijalankan.

Secara keseluruhan, sebanyak 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu termasuk 387 anggota polis, enam anggota tentera dan tiga pasangan mereka serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Semua anggota polis dan tentera yang layak mengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui undi pos sebelum ini manakala tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera sudah mengundi awal di Balai Polis Kijal, 28 November lepas.

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS. – Bernama, 2 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen