SABAH kini turut mengumumkan rancangan untuk meneruskan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) versinya sendiri walaupun selepas Putrajaya menggantung lesen ejen menguruskan permohonan MM2H termasuk di negeri itu dan Sarawak.
Tindakan itu dibuat selepas Sarawak awal hari ini membuat pengumuman yang sama susulan tindakan yang dibuat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew berkata program Sabah-MM2H tetap diteruskan walaupun Motac menolak rayuan negeri untuk mempertimbangkan semula penggantungan operasi permohonan di seluruh negara.
“Di bawah Sabah-MM2H, pemohon hanya perlu memenuhi semua syarat yang ditetapkan di bawah program tersebut.
“Adalah keperluan Putrajaya supaya ejen berlesen melakukan ini. Sekarang Putrajaya membatalkan semua lesen.
“Kemudian apa yang anda mahu saya lakukan? Saya mahu meneruskan. Memandangkan kami tidak membayar ejen, kami tidak terlibat dengan mana-mana agensi.
“Kementerian saya akan melantik dan memberi kuasa kepada wakil negeri meneruskan permohonan bagi program MM2H Sabah,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.
Seperti Sarawak, rancangan Sabah untuk melancarkan program MM2H sendiri tergendala selepas Motac menggantung lesen ejen pemprosesan di seluruh negara pada 27 Mei.
Liew dalam satu kenyataan semalam berkata kementeriannya meminta Motac menyemak keputusannya tetapi kementerian menjawab penggantungan itu akan diteruskan sehingga diberitahu kelak.
Liew berkata negeri itu telah pun berhubung dengan semua agensi berkaitan termasuk Imigresen dan polis sebelum membuat keputusan itu.
Walaupun Motac memegang kuasa pelesenan untuk semua operasi berkaitan pelancongan, Sabah telah pun meluluskan kebanyakan keperluan yang ditetapkan di bawah program MM2Hnya sendiri, katanya.
Liew berkata keputusan untuk meneruskan program itu tanpa mengira arahan Motac sudah dirujuk kepada kementerian itu, pihak berkuasa berkaitan dan ketua menteri.
“Program saya ditangguhkan tanpa sebab. Kami mempunyai pelanggan yang berminat dari negara-negara di seluruh Asia Tenggara. Mereka akan membawa pemohon ke Sabah. Sabah sudah bersedia. Apa yang perlu kita lakukan ialah membantu mereka.
“Mudah-mudahan kami mendapat kelulusan daripada Motac dan jika mereka tidak berbuat demikian, kami masih akan meneruskannya,” katanya.
Terdahulu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata negeri itu mempunyai autonomi ke atas imigresen dan pelancongan telah pun dikeluarkan daripada senarai persekutuan dan diletakkan dalam senarai bersama sekarang.
Senarai Persekutuan terdiri daripada perkara yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan, manakala senarai negeri merangkumi perkara yang berada dalam bidang kuasa eksklusif setiap kerajaan negeri.
Senarai bersama terdiri daripada perkara-perkara yang berada dalam bidang kuasa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Selain itu Karim berkata dasar S-MM2H Sarawak jauh berbeza daripada MM2H persekutuan.
Satu contoh yang beliau berikan ialah deposit tetap wajib yang perlu dibayar oleh pemohon.
Deposit tetap untuk S-MM2H ialah RM150,000 manakala MM2H persekutuan memerlukan RM1 juta.
Beliau berkata pemohon mendapati S-MM2H lebih menarik daripada MM2H.
“Ia sangat menarik sehinggakan permohonan untuk menjadikan Sarawak rumah kedua mereka melonjak sebanyak 90%.
“Namun sebaliknya untuk MM2H yang turun sebanyak 90%,” dakwanya. – 7 Jun, 2024.
Komen