SARAWAK mengancam untuk mengambil tindakan bersendirian dengan mempengerusikan mesyuarat berkaitan Program Malaysia Rumah Keduaku, Sarawak (S-MM2H) selepas Putrajaya menggantung lesen ejen menguruskan permohonan MM2H termasuk di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Kuasa autonomi ada pada kita dan kita mempunyai hak imigresen mengenai hal ini. Kita tidak mahu menimbulkan masalah tetapi kita berharap kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan (Motac) turut bertimbang rasa dengan dasar yang kami laksanakan,” katanya mengingatkan rakan sejawatannya di persekutuan Tiong King Sing.
Senarai Persekutuan terdiri daripada perkara yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan, manakala senarai negeri merangkumi perkara yang berada dalam bidang kuasa eksklusif setiap kerajaan negeri.
Senarai bersama terdiri daripada perkara-perkara yang berada dalam bidang kuasa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Karim berkata selain itu dasar S-MM2H Sarawak jauh berbeza daripada MM2H Persekutuan.
Satu contoh yang beliau berikan ialah deposit tetap wajib yang perlu dibayar oleh pemohon.
Deposit tetap untuk S-MM2H ialah RM150,000 manakala MM2H persekutuan memerlukan RM1 juta.
Walaupun begitu katanya Motac mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H termasuk di Sabah dan Sarawak untuk menghentikan operasi mereka.
“Ini tidak boleh. Itu tidak boleh.
“Kami menjangkakan Motac akan bertimbang rasa (dengan) dasar yang kami ada. Semua dasar tersebut di bawah S-MM2H diperakui oleh Kabinet negeri.
“Dan di sini datang menteri persekutuan yang mengetepikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Rainforest World Music Festival (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak, hari ini.
Karim berkata jika Sarawak teruskan program itu bersendirian, ia akan memberikan sedikit kesan.
Beliau berkata pemohon mendapati S-MM2H lebih menarik daripada MM2H.
“Ia sangat menarik sehinggakan permohonan untuk menjadikan Sarawak rumah kedua mereka melonjak sebanyak 90%.
“Namun sebaliknya untuk MM2H yang turun sebanyak 90%,” dakwanya.
Rancangan Sabah untuk melancarkan program MM2H pada 1 Jun tergendala disebabkan pekeliling Motac pada 27 Mei untuk menggantung operasi semua ejen berlesen.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew semalam berkata Motac tidak akan berganjak dengan pendiriannya walaupun terdapat permintaan supaya Sabah dikecualikan daripada arahan itu.
Kerajaan negeri dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk meneruskan sendiri dengan mengetepikan keputusan Motac.
Liew berkata kementeriannya akan melantik dan memberi kuasa kepada wakil negeri untuk memproses permohonan bagi program Sabah-MM2H. – 7 Jun 2024.
Komen