Permohonan Zafrul sebagai pencelah kes Najib didengar Khamis


Tengku Zafrul Abdul Aziz memohon sebagai pencelah agar dibenarkanmemfailkan afidavit bagi membetulkan dakwaan kesilapan fakta dalam afidavit Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong permohonan semakan kehakiman oleh Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2024.

PERMOHONAN Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai pencelah dalam tindakan undang-undang oleh bekas perdana menteri Najib Razak bagi menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri memohon menjadi pencelah agar dibenarkan memfailkan afidavit bagi membetulkan dakwaan kesilapan fakta dalam afidavit Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong semakan kehakiman Najib.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sivil Amarjeet Singh pada 2.30 petang 2 Mei, lapor Malaysiakini.

Pada 22 April, Tengku Zafrul menulis surat kepada Mahkamah Tinggi memohon kebenaran memfailkan afidavit bagi membetulkan “kesilapan fakta” dalam afidavit Zahid.

Pada 17 April, Zahid mengesahkan wujudnya titah adendum daripada bekas Agong yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.

Presiden Umno itu menyokong tuntutan Najib dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April.

Zahid mendakwa Tengku Zafrul menunjukkan dokumen itu pada telefon bimbit di rumahnya pada 30 Januari lalu.

Beliau berkata titah adendum itu mempunyai cap mohor dan tandatangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI.

Najib sedang memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan titah adendum yang dikaitkan dengan pengampunan separa yang mengurangkan separuh hukuman penjara kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut afidavit Najib yang menyokong semakan kehakimannya, bekas ahli Parlimen Pekan itu mendakwa titah utama Agong membenarkan pengampunan separa itu disertakan dengan titah adendum yang mengandungi peruntukan tahanan rumah.

Bekas presiden Umno itu memohon perintah mahkamah untuk memaksa menteri dalam negeri, peguam negara, Lembaga Pengampunan, kerajaan persekutuan, dan beberapa responden lain mengesahkan dakwaan titah adendum ini dalam pengampunan separa.

Menurut salinan permohonan semakan kehakiman, Najib mendakwa Agong mengeluarkan titah adendum pada 29 Jan, hari yang sama dengan titah pengampunan separa utama.

Dalam perkembangan lain, Badan Peguam Malaysia memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan memberikan pengurangan hukuman kepada Najib.

Menurut Free Malaysia Today, permohonan itu difailkan pada Jumaat lalu atas dasar keputusan itu menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Ia juga meminta perintah certiorari terhadap lembaga untuk membatalkan keputusan lembaga itu.

Badan Peguam juga mahu injunksi kekal menghalang Najib atau ejennya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan atau penangguhan kepada lembaga sehingga semua pertuduhan jenayah terhadapnya selesai. – 30 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen