‘Imam’ dan rakannya dalam serangan bazar Ramadan ditahan polis


Muzliza Mustafa

SEORANG lelaki mendakwa dirinya imam yang dipercayai terbabit dalam insiden gangguan dan serangan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong di bazar Ramadan di kawasan itu petang semalam, ditahan hari ini.

Pekerja pembersihan berusia 35 tahun itu ditahan di ibu pejabat polis Kluang jam 1.40 petang tadi ketika dia ke sana untuk memberikan keterangannya.

Turut ditahan ialah peniaga katering berusia 49 tahun yang bersama imam berkenaan ketika kejadian semalam.

Timbalan Ketua Polis Kluang Mohamad Laham mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan tanpa senjata dan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Dua suspek itu dan empat yang lain pada Sabtu menghalang Liew dan pasukannya bersama ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia daripada memasuki bahagian kering di bazar Ramadan di bandar Kluang.

Mereka menghalang bahagian masuk dengan tiga meja dan membentuk sekatan manusia untuk menyekat Liew mengedarkan kurma kepada peniaga dan pengunjung bazar di situ.

Salah seorang suspek cuba merampas kamera yang dipegang oleh staf Liew.

Apabila tidak berjaya, dia dikatakan menumbuk staf itu dan tidak sengaja terkena Liew.

Rakaman rusuhan itu jadi viral di media sosial dan mengundang kritikan bukan saja daripada netizen tetapi pemimpin kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang turut mengecam tindakan itu.

Ini bukan kali pertama imam itu menghalang Liew masuk ke bazar Ramadan.

Dia pernah melakukan perkara sama pada 2014. Pada masa itu dia meminta surat kebenaran daripada wakil rakyat itu untuk membenarkan mereka mengedarkan kurma di bazar. – 11 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen