PEMIMPIN daripada kedua-dua bahagian politik mengutuk insiden di bazar Ramadan di Kluang, Johor semalam di mana wakil rakyat DAP Liew Chin Tong dikasari hanya kerana mahu mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tindakan kumpulan itu terhadap ahli Parlimen Kluang berkenaan tidak perlu dan lebih teruk lagi ia dilakukan pada bulan suci umat Islam.
“Tindakan yang perlu dikecam. Lebih-lebih lagi pada bulan puasa. Tak perlu kita bertindak seperti ini walaupun beza pandangan politik,” katanya yang juga menteri belia dan sukan di Twitter.
Liew dikasari dan dihalau keluar dari sebuah bazar petang semalam oleh sekumpulan kecil peniaga, dan salah seorang daripada mereka dikatakan seorang imam, ketika Liew mengedar kurma bersama beberapa kakitangannya di sana.
Beliau dipukul di dahi hingga cermin matanya terjatuh dalam pergelutan itu. Liew membuat laporan polis bersama dua yang lain di balai polis Kluang malam tadi.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin berkata insiden itu perbuatan yang tidak Islamik kerana agama itu tidak pernah mengajar umatnya berlaku ganas pada orang lain dan Liew sepatutnya dibenarkan menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
“Walaupun beliau bukan seorang beragama Islam, beliau sepatutnya tidak dihalang daripada berbuat demikian apatah lagi dimarahi dengan kata-kata kesat.
“Lebih-lebih lagi beliau seorang ahli Parlimen yang mana menjadi tanggungjawab beliau untuk mendekati masyarakat di kawasannya tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata setiap umat Islam sepatutnya menampilkan akhlak Islam yang sebenar iaitu tidak bertindak kasar kepada sesiapa pun, malah, Islam menuntut umatnya bersikap rahmah atau saling mengasihi.
“Menghormati sesama manusia adalah tuntutan Islam yang utama dan sebagai umat Islam sewajarnyalah kita mengamalkan ajaran Islam yang sebenar,” katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh. – 11 Jun, 2017.
Komen