Penduduk rumah panjang PJ kesal isu banjir gagal ditangani


Penduduk rumah panjang PJS 1 menuntut pihak MBPJ laksana tanggungjawab atasi isu banjir dan penyelenggaraan kawasan kediaman mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

PENGHUNI rumah panjang PJS 1 di Petaling Jaya semakin kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan dalam menangani isu banjir serta menjaga kebersihan kawasan itu.

Mereka mengalami isu banjir sejak beberapa tahun lalu yang sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertindak dengan berkesan.

“Setiap kali hujan, pam yang berfungsi mengalihkan air ke saluran saliran sepatutnya untuk mengelakkan banjir, perlu diaktifkan oleh kakitangan MBPJ.

“Bagaimanapun, proses ini tidak berkesan. Jika berlaku kelewatan atau kegagalan mengaktifkan pam air, rumah penduduk akan banjir.

“Penduduk rumah panjang perlu menghubungi pejabat majlis setiap kali hujan, dan maklum balas daripada ahli majlis tempatan yang menjaga tempat ini semakin membimbangkan,” kata N Gandipan yang merupakan penyelaras PSM untuk Petaling Jaya.

Beliau berkata tekanan air di kediaman ini juga sangat rendah dan tidak mencukupi untuk kegunaan harian.

“Selain itu, tiada lampu di sekeliling kawasan rumah panjang yang menimbulkan risiko keselamatan serius. Ketiadaan lampu juga menyebabkan kawasan itu menjadi tempat pembuangan sampah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penduduk dipindahkan ke rumah panjang ini dari kawasan setinggan di Kampung Muniandy, Kampung Pinang dan Kampung Petaling Tin pada 2000.

Ia sepatutnya menjadi perumahan sementara bagi mereka sebelum dipindahkan ke Blok E, skim perumahan rakyat PJS 1 tetapi blok itu masih belum dibina.

Pada mesyuarat 2018, MBPJ memaklumkan penduduk boleh tinggal di rumah panjang sehingga rumah kos rendah siap, dengan MBPJ bersetuju untuk menampung semua penyelenggaraan kawasan itu.

Mereka juga diberitahu boleh tinggal di sana secara percuma.

“Tetapi keseluruhan kawasan rumah panjang dalam keadaan teruk dan memerlukan perhatian segera,” kata Gandipan.

Katanya, MBPJ gagal mengambil tindakan sewajarnya walaupun isu itu berulang kali dibangkitkan.

Beliau juga berkata menjelang akhir tahun lalu, penduduk  dijanjikan bantuan kewangan bantuan bencana oleh ahli majlis tempatan tetapi setakat ini masih tiada sebarang berita. 

“Sekarang sudah hampir Mei 2024, dan rumah mereka sudah beberapa kali dilanda banjir, namun penduduk masih belum menerima bantuan kewangan sehingga kini,” katanya. – 22 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen