Malaysia pencemar utama salah urus sisa plastik, kata laporan


K. Kabilan

Malaysia di tempat ke-10 sebagai salah satu pencemar terburuk dalam salah urus sisa plastik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

MALAYSIA adalah antara pencemar terburuk dalam salah urus sisa plastik dengan setiap orang di negara ini bersalah kerana salah menguruskan 25.49kg setahun, menurut kajian yang dijalankan oleh pakar Utility Bidder.

Ini meletakkan Malaysia di tempat ke-10 dalam laporan Pencemar Plastik, yang memprofilkan negara dengan sisa tersalah urus.

Sisa plastik yang tidak terurus ditakrifkan sebagai sisa yang dibuang di tapak pelupusan sampah yang tidak terkawal.

Apabila sisa plastik salah diurus kemungkinan ia memasuki lautan meningkat.

Untuk konteks pencemar paling teruk dalam kategori ini ialah Comoros dengan 69.52kg sisa plastik yang salah diurus per kapita setiap tahun, diikuti Trinidad dan Tobago (52.43kg) dan Suriname (39.47kg).

Dalam kategori membuang sisa plastik ke lautan, Malaysia menduduki tempat kelima dengan 2.29kg sisa plastik ke lautan setiap orang setiap tahun.

Dalam kategori ini Filipina adalah pencemar terbesar dengan 3.30kg per kapita sisa plastik memasuki lautan.

Secara keseluruhan lebih daripada 350,000 tan sisa plastik memasuki lautan dari Filipina setiap tahun iaitu 36% daripada jumlah keseluruhan dunia.

Menurut penyelidikan, sisa plastik adalah salah satu bentuk pencemaran yang paling merosakkan.

Sisa plastik yang tidak terurus ditakrifkan sebagai sisa yang dibuang di tapak pelupusan sampah yang tidak terkawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

Kerajaan di seluruh dunia memperkenalkan beberapa langkah untuk menangani perkara ini seperti caj beg plastik semasa membeli-belah dan diskaun untuk membawa cawan kopi boleh guna semula ke kafe.

Malaysia juga memperkenalkan larangan beg plastik dan penyedut minuman sekali pakai untuk mengatasi sisa plastik dan pencemaran.

Awal bulan ini kempen penglibatan awam Greenpeace Hema Sulakshana Mahadevan dilaporkan sebagai berkata sistem kitar semula untuk mengatasi sisa plastik telah gagal.

“Kami menghasilkan terlalu banyak,” kata Hema kepada Malaysiakini sambil menambah “pengeluaran plastik semakin berkembang di luar kawalan”.

“Kami bersama negara lain gagal menguruskan sisa kami. Kami tidak mempunyai kemudahan dan sumber yang mencukupi untuk menguruskan sisa ini,” katanya.

Tambahnya bukan semua sisa plastik yang terkumpul di dalam tong sampah boleh dikitar semula.

“Pengguna tidak sedar kerana tidak cukup pendidikan mengenai perkara ini. Isu pencemaran plastik masih berterusan. Ia berterusan kerana terdapat salah jajaran asas dalam menangani masalah tersebut.

“Tidak kira berapa banyak kita disuruh untuk menggunakan semula dan mengurangkan, kita tidak akan dapat mengelak daripada menjana sisa atau menyumbang kepada pencemaran kerana kita terus mengeluarkan plastik,” tambahnya.

Beliau juga berkata Malaysia, sebagai salah satu pengeluar plastik terbesar di dunia tidak mempunyai kapasiti untuk menangani sisa.

“Tapak pelupusan sampah penuh dan ia berlaku selama beberapa dekad. Kami tidak mempunyai program pengurusan sisa yang berkesan untuk menangani isu ini,” tambahnya.

Malaysia sebagai salah satu pengeluar plastik terbesar di dunia tidak mempunyai kapasiti untuk menangani sisa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

Greenpeace juga menggesa Malaysia untuk menandatangani perjanjian plastik global untuk menamatkan pencemaran plastik menjelang akhir 2040.

Pada awal bulan ini juga Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) dalam laporan berkata Malaysia muncul sebagai hab global untuk eksport sisa plastik dengan Jepun menjadi pengeksport utama sampah tersebut.

C4 berkata Jepun mengeksport 21.7 juta kg sisa plastik sebulan ke Malaysia pada 2023.

Sejak China mengharamkan import sisa pepejal pada 2018, Malaysia menjadi hab antarabangsa bagi sisa tersebut, kata laporannya.

C4 berkata laporan itu menyatakan beberapa cabaran utama bagi pengurusan sisa Malaysia termasuk amalan haram seperti pembakaran terbuka dan pembuangan haram.

Ia juga menekankan kekurangan penguatkuasaan dan pemantauan daripada pihak berkuasa serta kekurangan ketelusan dan akses awam untuk menyiasat pematuhan peraturan dalam mengimport sisa plastik.

Ia juga mahu Putrajaya menerima pakai Basel Konvensyen Pindaan Sisa Plastik dalam undang-undang tempatan dengan hukuman yang ketat bagi pelanggaran.

Hari Bumi Sedunia

Awal hari ini Jabatan Perikanan Malaysia berkata pendekatan bersepadu melibatkan kerajaan, komuniti perniagaan dan orang ramai diperlukan untuk menangani isu pencemaran plastik.

Jabatan itu berkata adalah penting bagi semua pihak untuk mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik, meningkatkan kecekapan pengurusan sisa, dan menggalakkan penggunaan bahan alternatif untuk menangani isu ini dengan berkesan.

Sejak 2019, jabatan itu menjalankan kajian mengenai pencemaran mikroplastik dan makroplastik di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia khususnya di barat laut dan pantai timur dan dalam tisu ikan komersial dan kerang.

“Penemuan mendedahkan jenis plastik yang biasa ditemui dalam persekitaran akuatik tempatan dan global ialah rayon, polietilena dan polipropilena.

“Jenis plastik ini lazimnya digunakan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam industri pakaian, pembungkusan makanan dan pelbagai industri lain,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Bumi Sedunia hari ini.

Sementara itu pakar mencadangkan beberapa cara untuk mengurangkan sisa plastik termasuk menggunakan semula cawan dan beg membeli-belah dan mengurangkan penggunaan gula-gula getah.

Menurut data yang diberikan dalam laporan Plastic Polluters, membeli botol air boleh guna semula atau cawan kopi adalah salah satu cara paling mudah untuk mengurangkan sisa plastik.

Ia menambah 1,500 botol plastik dibuang setiap saat dan hanya satu daripada 400 cawan kopi dikitar semula.

Sebanyak 1,500 botol plastik dibuang setiap saat dan hanya satu daripada 400 cawan kopi dikitar semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2024.

Laporan itu juga menyatakan lebih daripada 250 haiwan marin dibunuh setiap hari oleh beg plastik.

Sementara itu gula-gula menyumbang 100,000 tan pencemaran plastik setiap tahun, dengan anggaran 80-90% gula-gula getah tidak dibuang engan betul menjadikannya salah satu barangan yang paling bersepah di jalanan.

Disebabkan kandungan plastiknya gula-gula getah tidak boleh terbiodegradasi. Ini bermakna ia tidak akan terurai secara semula jadi kepada bahan organik. Gula-gula getah yang bersepah dibiarkan terurai menjadi mikroplastik. Terdapat juga kebarangkalian tinggi untuk dihujani ke lautan, mengumpul toksin tambahan dalam perjalanan.

Laporan Plastic Polluters juga menyatakan pembelian pukal boleh membantu mengurangkan sisa plastik.

Hari Bumi ialah acara tahunan pada 22 April untuk menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar. Ia pertama kali diadakan pada 22 April 1970. – 22 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen