Malaysia hab global eksport sisa plastik, kata laporan


Laporan yang dikeluarkan semalam menunjukkan pada November 2023 Jepun mengeksport 21.7 juta kg sisa plastik sehari ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2024.

MALAYSIA muncul sebagai hab global untuk eksport sisa plastik dengan Jepun menjadi negara terkemuka yang mengeksport sisa plastik ke Malaysia, menurut laporan.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) berkata laporan yang dikeluarkan semalam menunjukkan pada November 2023 Jepun mengeksport 21.7 juta kg sisa plastik sehari ke Malaysia.

Ini adalah lebih daripada jumlah amaun masing-masing yang dieksport oleh negara OECD lain ke semua negara bukan OECD.

C4 berkata keadaan menjadi teruk bagi Malaysia sejak China mengharamkan import sisa pepejal pada 2018.

Laporan itu yang bertajuk ‘Mengakhiri Kolonialisme Sisa, Mentadbir Pencemaran Plastik: Peluang Jepun untuk Memimpin Asia keluar daripada Krisis Plastik’ - menunjukkan percanggahan antara kapasiti tadbir urus domestik dan serantau setiap negara mengenai pergerakan dan pengurusan sisa plastik.

Ia juga menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan, kebolehkesanan dan kebertanggungjawaban rangka kerja perdagangan sisa plastik.

C4 dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan itu menyatakan beberapa cabaran utama bagi pengurusan sisa Malaysia termasuk amalan pengurusan sisa haram seperti pembakaran terbuka dan pembuangan haram.

Ia juga menekankan kekurangan penguatkuasaan dan pemantauan daripada pihak berkuasa serta kekurangan ketelusan dan akses awam untuk menyiasat pematuhan peraturan dalam mengimport sisa plastik.

C4 menggesa kerajaan Jepun untuk menghentikan eksport sisa plastik secara berperingkat ke Malaysia dan negara bukan OECD lain sebagai cara memerangi penjajahan sisa.

Badan pemantau itu juga menyeru kerajaan Malaysia untuk mengutamakan mengurangkan pengeluaran plastik, penggunaan dan penjanaan sisa dan pergantungan plastik secara keseluruhan.

Ia juga mahu Putrajaya mengguna pakai Pindaan Sisa Plastik Konvensyen Basel ke dalam undang-undang tempatan dengan hukuman yang ketat bagi pelanggaran.

Selain itu C4 berkata kerajaan juga mesti memastikan ketelusan dan akses awam kepada data untuk menyokong usaha komuniti setempat yang menangani isu perdagangan sisa plastik.

“Membangunkan pelan tindakan kebangsaan mengenai Pengurusan Sisa Pepejal dan Pekeliling dengan sasaran yang boleh diukur, inklusif dan mampan.

“Memperkasakan penguatkuasaan dalam memantau penghantaran sisa di pelabuhan dan rawatan sisa di kemudahan kitar semula plastik bagi mengelakkan pengedaran sisa haram dan aktiviti terlarang.

“(Dan) Hapuskan import sisa plastik secara berperingkat dan fokus pada pengembangan kapasiti dan infrastruktur dalam pengumpulan dan pengasingan sisa domestik,” tambahnya. – 5 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen