Pengawal peribadi ditembak di KLIA


SEORANG pengawal peribadi cedera parah selepas ditembak oleh seorang individu di balai ketibaan Terminal 1 KLIA, awal pagi tadi.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan berkata seorang lelaki melepaskan dua tembakan ke arah isterinya tetapi sebaliknya peluru terkena pengawal peribadi wanita terbabit.

“Suspek sebenarnya mahu menembak isterinya yang sedang menunggu ketibaan jemaah umrah.

“Satu daripada tembakan itu terkena pengawal peribadi terbabit, dan menyebabkan kecederaan parah. Suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Hussein berkata insiden berlaku pada jam 1.30 pagi di balai ketibaan.

Polis melancarkan siasatan dan memburu suspek yang sudah dikenal pasti.

Beliau berkata motif kejadian masih belum disahkan dan kes disiasat bagi kesalahan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Hussein menekankan insiden tembakan itu tidak ada kaitan dengan pengganas dan suasana selamat di KLIA.

“Keadaan d KLIA adalah terkawal dan selamat,” katanya. – 14 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen