Akmal Saleh, tolonglah hentikan kebodohan ini


Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh didakwa seolah-olah cuba menimbulkan isu yang tidak wujud berhubung isu reka bentuk kasut yang sedang hangat diperkatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2024.

SAYA merujuk kepada muat naik terbaru Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh yang mempersoalkan satu corak kasut yang kononnya iras-iras kalimah Allah.

Beliau desak penjelasan diberikan, kononnya husnuzon, tapi saya tengok ini seolah-olah cuba menimbulkan isu yang tidak wujud.

Corak dan motif ini sangat abstrak, sepintas pandang banyak benda boleh kita buat interpretasi sendiri.

Adakah selepas ini kita akan minta kilang tingkap atau pembuat sauh kapal untuk memberi penjelasan mengapa ada tanda palang pada produk mereka?

Adakah ini salah satu agenda kristianisasi di Malaysia?

Umat Islam dan Melayu di Malaysia ini sedang menghadapi krisis harga barangan yang tinggi  di kala kedudukan ringgit yang amat-amat lemah.

Sebahagian besar juga mempunyai sentimen negatif ke atas kerajaan Madani hari ini dan dapat kita lihat melalui sambutan terhadap insiatif kerajaan seperti pendaftaran Padu.

Di tengah-tengah kegusaran dan krisis kepercayaan ini, Pemuda Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Madani membuat keputusan untuk bermain isu-isu dangkal kerana mahukan perhatian dan mendapatkan reaksi segera.

Islam mempunyai sejarah melahirkan saintis, ahli astronomi, pakar matematik dan fizik yang memajukan peradaban manusia, maka sedih apabila hari ini kita ditenggelami dengan suara-suara politikus yang konon hendak menjadi terpaling Islam terpaling Melayu bermain isu-isu seperti ini.

Negara kini ketandusan sosok negarawan, malang sekali apabila politik kita ditenggelami dengan lambakan individu yang bermain api sentimen demi reaksi jangka masa pendek, dan lebih malang lagi mereka ini adalah sebahagian mereka yang memegang tampuk kuasa.  

Tolonglah, hentikan kebodohan ini, boleh tak cari lagi aktiviti lain yang lebih berfaedah. – 7 April, 2024.

* Zaidel Baharuddin merupakan naib presiden Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen