Umno arah Akmal henti main isu stoking, kalimah Allah


Umno mengarahkan ketua pemudanya Dr Akmal Saleh untuk tidak lagi membangkitkan isu stoking tertera kalimah Allah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2024.

Umno mengarahkan ketua pemudanya Dr Akmal Saleh untuk tidak lagi membangkitkan isu stoking tertera kalimah Allah yang melibatkan rangkaian kedai runcit KK Mart, kata pemimpin parti itu.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, presiden parti mengarahkan Akmal supaya menghentikan isu tersebut serta-merta.

Laporan Berita Harian menyebut, Bung Moktar menjelaskan Zahid juga menjelaskan KK Mart tidak merancang untuk menjual produk kontroversi itu.

“Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan.”

Tambahnya kes itu sepatutnya selesai selepas Yang di-Pertuan Agong menitahakn supaya isu tersebut dihentikan.

Pengasas KK Mart Chai Kee Kan hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk memohon maaf kepada baginda dan seluruh umat Islam atas kejadian itu.

Baginda pada 27 Mac lalu menitahkan tindakan diambil mengikut undang-undang dan memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak terus mengapi-apikan kemarahan orang ramai.

Sebaliknya, semua pihak perlu belajar dari insiden tersebut dan berusaha memperkukuh perpaduan terutama pemimpin komuniti, titah baginda.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga pada masa itu memberi amaran supaya isu tersebut, termasuk gerakan memboikot rangkaian kedai terlibat tidak lagi diteruskan.

Akmal setakat semalam berikrak untuk meneruskan kempen boikot ke atas rangkaian KK Mart.

Beliau menegaskan demikian selepas tiga cawangan KK Mart diserang dengan bom petrol, masing-masing di Bidor, Perak, di Kuantan, Pahang dan juga di Kuching, Sarawak.

Tindakan itu menyebabkan beliau dikecam para pemimpin gerakan pemuda dalam gabungan parti kerajaan sebagai tindakan pelampau yang mengapi-apikan sentimen agama.

Para pengasas kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd didakwa Selasa lalu atas tuduhan menyinggung perasaan umat Islam dengan jualan stoking kontroversi itu.

Selain Chai, isterinya Loh Siew Mui serta tiga lagi individu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Turut didakwa di mahkamah sama adalah pemilik syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat yang membekal stoking berkenaan serta dua lagi dari syarikat itu, Goh Li Huay dan Soh Hui San. – 3 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen