Kebangkitan India jadi kuasa penyeimbang serantau


LAWATAN Menteri Luar India S Jaishankar ke Malaysia menjadi platform terbaik dalam mengangkat lembaran pertalian baharu dan memperkukuh domain kerjasama lebih erat dalam kapasiti peningkatan kebergantungan ekonomi dan kesepakatan dalam aspek pertahanan dan keselamatan.

Peranan dan kebangkitan India telah sekian lama dibayangi oleh naratif kuasa China dan kuasa hegemoninya di rantau Indo Pasifik sejak dua dekad lalu.

India meraikan Hari Republik pada 26 Januari lalu dan kapasiti kuasa ekonominya kini menjadi sandaran dan simbol kebangkitan kuasa ketiga dalam percaturan kuasa China-Barat.

Naratif the Chinese Century yang akan menjadi penentu masa depan rantau menjadi sandaran dominan, namun prospek ekonomi dan kuasa baharu India menjadi kuasa penyeimbang baharu yang kritikal bagi Barat dan sekutunya.

Sehingga kini, barisan alternatif yang cuba dicanang oleh Barat dalam mengekang kemaraan Beijing berkisar kepada sandaran sekutu yang terjamin dari segi keperluan jaminan ketenteraan dan cegah rintang Washington, terutamanya Tokyo dan Manila.

Kelahiran Quad mencipta lembaran baharu dalam memperluas strategi mengekang China, dan India menjadi kunci utama dalam strategi jangka panjang ini. Kebangkitan India tidak mendapat perhatian dan momentum seperti China, dan justeru, percaturan kuasa dalam rantau ini secara dominannya berlandaskan prospek ekonomi dan kuasa hard power Beijing.

Peningkatan prospek kuasa ekonomi New Delhi serta pengaruh ke atas haluan politik serantau telah disambut dengan elemen ketidakpastian dengan tiadanya faktor pelengkap  dan tindak balas yang strategik.

Data serta fakta kebangkitan India seringkali tidak dihayati secara komprehensif, dan pegangan polisi masih terjerumus dalam kancah orientasi China secara total.

Lawatan Jaishankar ke Filipina, Malaysia dan Singapura baru-baru ini berlandaskan kepada acuan serampang dua mata, dalam memperdalam keberadaaan dan kepercayaan dalam kebangkitan dan peranan India, dan juga memberikan mesej jelas kepada rantau dan China bahawa India akan mempergiat landasan fokus terhadap rantau Asia Tenggara dan akan terlibat secara lebih menyeluruh dalam isu kritikal termasuk pertikaian Laut China Selatan.

Lawatan ini juga penting dalam mengangkat darjat dan keberkesanan Act East Policy di bawah Modi yang kini meraikan ulangtahun ke-10 sejak penubuhannya yang bertujuan untuk menjadikan rantau ini sebagai penghubung penting kepada India dalam sasaran jangka panjang kebangkitan kuasa di Indo Pasifik.

Dalam kancah perubahan geopolitik sejak pandemik, tujahan Act East Policy ini semakin kritikal bagi India, lebih-lebih lagi memandangkan momentum Quad yang tidak banyak memberikan suntikan baharu kepada jaminan bersama cegah rintang dan keselamatan India.

Potensi untuk mencari sekutu baharu dan juga mencari titik pertemuan bagi polisi dan dasar yang memperkasa norma dan undang-undang antarabangsa dalam kalangan negara serantau menjadi buruan dan sandaran India.

New Delhi di bawah Modi yang dijangka akan memenangi pilihan raya yang berlangsung sehingga pertengahan tahun ini sedar bahawa untuk menjayakan hasrat kebangkitan India baharu, orientasi terhadap China tidak boleh hanya berkisar kepada sandaran pertahanan di Lautan Hindi dan juga pertikaian darat di sempadan Himalaya dengan kuasa ketenteraan China.

Laut China Selatan kini menjadi tumpuan dan faktor penghubung penting kepada India, yang akan memberikan impak langsung kepada kapasiti China di laluan menghala kepada Lautan Hindi dan juga impak terhadap pangkalan semasa India di Kepulauan Nicobar di pintu masuk Selat Melaka.

Seperti yang tertera dalam mesej yang diberikan Jaishankar semasa lawatan ke Filipina yang menjadi pilihan pertama dalam siri lawatan ini, peningkatan penglibatan dalam domain keselamatan dan geostrategik diterjemahkan dalam rangkaian bersepadu objektif Act East Policy dan juga langkah strategik baharu Modi dalam melibatkan kepentingan ASEAN dan rantau Asia Tenggara sebagai faktor pelengkap kepada visi India baharu.

Pertukaran nama kepada Bharat yang mungkin akan disempurnakan di bawah Modi menjadi penanda aras baharu kepada hasrat Modi untuk memacu lembaran baharu bagi India.

Act East Policy ini menjadi pemangkin kepada sinergi baharu termasuk Indo Pacific Oceans Initiative (IPOI) yang diluncurkan oleh Modi pada 2019. Kesemua ini menandakan mesej jelas mengenai tuntutan semasa dan masa depan kepentingan India dan juga peranan pelaku Indo Pasifik dalam domain ini, terutamanya dalam usaha untuk menangani ancaman sistemik bagi India yang sekarang didominasi oleh China dan Pakistan.

India memasuki fasa baharu dalam percaturan dan pegangan kuasa dan pengaruh ekonomi global. New Delhi menjadi kuasa ekonomi kelima terbesar dunia dengan GDP setinggi USD3.75 trillion, meningkat dari tangga ke-10 dari tahun 2014.

India kini dijangka untuk menjadi kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia menjelang 2027. Di bawah Modi, harapan dan strategi menggunung untuk menjadikan India sebagai fallback option kepada pelaku utama global dalam sektor kritikal termasuk semikonduktor, teknologi dan pembuatan, ekonomi digital, peralihan tenaga dan industri lain.

Ini dicanang untuk menjadikan India sebagai magnet sektor kritikal baharu selain daripada China, dengan mengambil kesempatan di sebalik cabaran demografi dan ekonomi dalaman China untuk melonjakkan kekuatan dan pulangan hasil ekonomi baharu.

Berdasarkan analisis sedia ada, India dijangka akan kekal sebagai kuasa ekonomi besar dunia yang meningkat dalam pertumbuhan ekonomi dalam kadar terpantas, dengan purata pertumbuhan sebanyak 6 hingga 7% sehingga hujung dekad ini.

Dalam usaha untuk merencana transformasi dan peralihan kuasa geopolitik dan ekonomi, kerajaan di bawan Modi bertindak aktif memikat firma antarabangsa dalam mempertingkat tahap dan jenis pelaburan dalam negara tersebut, daripada sektor infrastruktur dan pengangkutan awam sehinggalah kepada sektor digital dan tenaga.

Reformasi polisi yang dijalankan oleh Modi telah menyaksikan perubahan komprehensif dari segi pertumbuhan industri berteknologi tinggi, pendigitalan dan juga peningkatan pendapatan isi rumah dan merapatkan jurang demografi dan pembangunan mengikut geografi dan segment populasi.

Antara strategi yang dibentuk adalah Smart Cities Mission, Digital India dan juga Make in India. Fokus bersasar terhadap gig economy, jangkauan pembangunan internet dan juga domain peralihan tenaga menjadi faktor perangsang kepada strategi perubahan ekonomi di bawah Modi. Rangkaian internet kini mencecah jumlah pengguna sebanyak 840 juta orang, dan tumpuan strategik kepada tenaga solar, hidrogen, dan digital serta semikonduktor menjadi perintis kepada hasrat untuk mengubah rubrik kuasa sebenar India.

Ekonomi digital India berkembang 2.4 kali ganda lebih pantas daripada kadar pembangunan ekonomi biasa dari 2014 hingga 2019, seterusnya mencipta 62.4 juta peluang pekerjaan. Dalam sektor pengangkutan dan infrastruktur, lebuh raya dibina dengan kadar setinggi 28km setiap hari, dan landasan kereta api dibina pada kadar 12km setiap hari. Inisiatif Make in India meliputi 27 sektor kritikal ekonomi, dan dijangka untuk melonjak sektor pembuatan dalam purata KDNK daripada 13% kepada 21% menjelang 2031.

Peralihan tenaga dan potensi pulangan daripada ekonomi digital dan sumber tenaga baharu menjadi sandaran Modi. Untuk 20 tahun akan datang, 25% daripada jumlah peningkatan dalam permintaan tenaga global akan datang dari India, menandakan kebangkitan kuasa ekonomi yang ketara.

Namun, India tetap menumpukan fokus terhadap kadar pelepasan karbon sifar menjelang 2070. New Delhi kini berada di kedudukan ketiga dalam indeks potensi negara dalam tenaga boleh diperbaharui dan tenaga baharu.

Untuk India mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi sebanyak 7% ke 8% setiap tahun, Modi memerlukan lonjakan dan anjakan signifikan dalam perkiraan strategik transformasi ekonomi, terutamanya dalam persaingan dan potensi konflik dengan Beijing.

Pentadbiran Modi memerlukan lonjakan fokus terhadap membasmi kadar kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan, mencipta skop pasaran dan permintaan berskala tinggi dan mewujudkan pangkalan industri, teknologi dan pembuatan yang akan melonjak keterlihatan, daya saing, faktor penarik dan kuasa ekonomi India.  

Modi berhasrat untuk menjadikan India sebagai vishwaguru, atau dikenali sebagai “guru kepada dunia”. Ini memerlukan negara tersebut untuk terus memperkembang pengaruh dan tanggungjawab global dan serantau.

Ini dicerminkan dalam konsep The ‘Aarogya Maitri’ di mana India membekalkan bekalan ubat-ubatan dan alat sokongan kesihatan kepada negara yang memerlukan terutamanya dalam kalangan Global South.

Potensi masa depan India kekal positif, dan ini bertunjangkan kepada potensi demografi yang akan memacu perkembangan dalam pulangan ekonomi, produktiviti dan juga kesinambungan kapasiti ketenteraan. India kini merupakan negara dengan jumlah penduduk tertinggi dunia dengan 1.4 billion penduduk.

Anggaran umur median berada pada tahap terbaik dengan purata umur sebanyak 28 tahun. Dalam segmen demografi, sebanyak 900 juta penduduk tergolong dalam domain produktiviti tinggi dan menyumbang kepada jumlah populasi bekerja (15 hingga 60 tahun). India juga merupakan negara yang mempunyai populasi penduduk yang muda, dengan 65% jumlah populasi di bawah 35 tahun.

China menjadi tumpuan dunia apabila berjaya dalam misi membasmi kadar kemiskinan tetapi India kini tampil dengan transformasi ekonomi tersendiri di mana seramai 248 juta orang kini telah bebas daripada kepompong kemiskinan sejak sembilan tahun yang lepas.

Indo Pasifik menjadi medan masa depan, menjadi hos kepada 64% populasi dunia dan menyumbang 60% kepada kadar GDP dunia. Dalam konteks ini, India menjadi kuasa penyeimbang kritikal dalam masa depan kuasa ekonomi dan ketenteraan di rantau ini dan di peringkat global.

Malaysia memerlukan sandaran potensi kuasa India terutamanya dalam domain ekonomi, tenaga, demografi, sains dan teknologi serta pertahanan dan keselamatan untuk terus memberikan faktor sokongan, cegah rintang dan sandaran kepada transformasi ekonomi dan pengaruh Malaysia dalam jaminan kestabilan dan kepentingan negara dan serantau. – 4 April, 2024.


* Collins Chong Yew Keat Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen