Ramadan peluang terbaik tarik anak muda makmurkan masjid


SEBAGAIMANA lazimnya, masjid pada bulan Ramadan menerima kunjungan luar biasa ramai orang berbanding bulan lain.

Semua golongan tanpa mengira orang muda, tua, kanak-kanak, lelaki dan perempuan, termasuk yang baru berjinak-jinak mendatangi masjid secara beramai-ramai menjelang iftar, seterusnya menunaikan solat tarawih dan pulang dengan rasa terisi rohani.

Inilah nikmat iman yang dirasakan ketika cuba memaknai Ramadan. Saat ini juga menjadi waktu terbaik untuk mendidik umat Islam menghayati syariat agama agar kefahaman tersebut dapat dinatijahkan dalam bentuk amal.

Hasilnya, rahmat Islam akan dapat dirasai oleh sesiapa pun termasuk golongan bukan Islam.

Definisi masjid

Masjid dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai tempat bersujud. Dari sudut syarak, masjid boleh ditakrifkan kepada dua. Pertama, masjid merujuk kepada kawasan tanah berdasarkan sabda Nabi SAW, maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).” (Riwayat al-Bukhari (438))

Manakala dari sudut istilah, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. Maksudnya, masjid merujuk kepada tempat yang disediakan bagi melaksanakan ibadah solat secara berterusan.

Masjid yang berfungsi dengan baik tidak akan menimbulkan rasa kekok untuk dikunjungi orang ramai tanpa mengira latar belakang.

Hal ini kerana masjid tersebut telah memberikan pelbagai manfaat kepada komuniti sekelilingnya, termasuk dalam pembangunan spiritual dan ilmu serta menjadi pusat rujukan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Masjid bukan sahaja menjadi tempat untuk melakukan ibadah khusus seperti yang difahami oleh sesetengah golongan Muslim.

Ia bahkan merupakan tempat pelbagai aktiviti harian boleh dijalankan, yang dalam sesetengah situasi juga boleh dianggap sebagai ibadah umum jika sesuai dengan prinsip-prinsip syarak.

Kontroversi jemaah masjid

Mutakhir ini, timbul beberapa isu berkaitan adab dan akhlak jemaah ketika berada di masjid. Isu penyusunan saf solat, mengecup tempat solat, ragam anak-anak, layanan terhadap masyarakat warganegara asing yang datang ke masjid dan pelbagai perkara lagi menjadi topik perbualan hangat dalam masyarakat.

Walaupun isu ini sering kali menjadi sumber kontroversi, namun ia menggambarkan masih banyak lagi kejahilan ilmu yang perlu ditumpangkan bersama penerapan nilai murni.

Ini memberikan peluang kepada individu yang berilmu, terutamanya ilmuwan yang berpengaruh untuk menyampaikan pendidikan yang berlandaskan hujah jelas dan meyakinkan.

Melalui pendekatan yang bijak dan penuh hikmah, mereka dapat membetulkan amalan yang salah dan membudayakan amalan yang betul.

Evolusi peranan masjid di Malaysia

Adalah lumrah bagi perjalanan hukum alam untuk berubah ketika timbul konflik. Ketika keadaan tenang, kehidupan berjalan seperti biasa. Mungkin itulah sebabnya peranan masjid di Malaysia mengalami evolusi yang signifikan.

Pada masa lalu, masjid dikenali sebagai tempat ibadah solat semata-mata.

Namun, seiring dengan berjalannya waktu, pembinaan masjid berkembang dengan kelengkapan infrastruktur yang pelbagai untuk menampung keperluan tertentu seperti menyediakan kelas pendidikan bagi golongan dewasa dan tempat untuk majlis rasmi.

Kini, banyak masjid mempertimbangkan fasiliti untuk anak-anak dan wanita seperti taman permainan, menganjurkan program cuti sekolah dan menyediakan khidmat penjagaan kanak-kanak.

Beberapa masjid juga berkembang sebagai pusat pengislahan ekonomi dan sosial. Evolusi ini merupakan bahagian daripada proses yang berlaku ketika isu yang muncul dapat difahami dan diikuti dengan tindakan penyelesaian tepat.

Jika tidak ditangani dengan baik, akan timbul kecenderungan bagi sesetengah orang awam untuk menjauhi masjid, menjadikannya tempat eksklusif bagi golongan tertentu sahaja.

Hal ini tidak seharusnya terjadi kerana masjid sepatutnya menjadi tempat utama memelihara perpaduan umat Islam.

Oleh itu, penting bagi para cendekiawan yang berilmu dan berpengaruh untuk menyambut isu yang muncul dengan bijaksana.

Dengan memberikan penjelasan yang tepat dan mengarahkan umat Islam untuk mengamalkan ajaran yang benar, kita dapat memperbaiki kesalahan dan menyerap kekeliruan yang muncul dalam masyarakat sehingga umat Islam dapat beramal dengan cara yang benar dan bermakna.

Menjadikan masjid jantung masyarakat Islam

Ramadan juga menjadi peluang terbaik untuk menyantuni semua tetamu masjid terutamanya golongan muda agar hati mereka terus terikat dalam aktiviti keagamaan dan menyokong program masjid pada masa akan datang.

Bagaimanapun, cabaran yang lebih besar menanti umat Islam selepas Ramadan adalah untuk mengekalkan semangat ibadah dan kehadiran di masjid.

Lazimnya, masjid sering menjadi tumpuan golongan yang sudah pencen untuk menghadiri kelas-kelas agama yang banyak disusun oleh pihak pentadbiran masjid.

Namun, bukankah lebih menarik lagi jika kita dapat menarik golongan lain juga untuk bersama-sama mengimarahkan masjid?

Untuk menarik golongan muda, program menarik perlu disediakan supaya mereka merasakan masjid sebagai tempat yang menyeronokkan dan relevan dengan keperluan mereka.

Contohnya, jawatankuasa masjid boleh bekerjasama dengan sekolah tempatan untuk menyelaraskan program melalui pendekatan teknologi yang digemari oleh golongan muda.

Ini termasuk menawarkan tempat untuk kelas tambahan, perkhemahan, aktiviti sukan yang bersesuaian dengan minat mereka dan pelbagai program kreatif lain yang boleh memberikan pengalaman manis orang muda terhadap masjid.

Kelas agama yang dianjurkan juga perlu mempertimbangkan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan anak bagi membolehkan ibu muda hadir tanpa kebimbangan.

Peranan ibu dalam masyarakat dapat diperkasakan melalui penyediaan perkhidmatan penjagaan anak ini, yang akan menyokong penglibatan mereka dalam aktiviti masjid.

Kem pelajar yang dianjurkan oleh masjid di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang adalah contoh sinergi antara suri rumah dan golongan tua.

Masjid bersama-sama masyarakat setempat boleh merancang program menarik seperti pertandingan membaca Al-Quran, pertunjukan seni atau festival makanan halal untuk menyemarakkan suasana.

Melibatkan golongan muda dalam aktiviti masjid seperti gotong-royong, menghias masjid, menjadi muazin atau menguruskan perpustakaan dapat memberi mereka “rasa kekitaan” atau “rasa termilik” (sense of belonging) terhadap masjid.

Interaksi peribadi dengan jemaah untuk memahami keperluan dan minat mereka juga penting untuk menggalakkan kehadiran berterusan di masjid.

Momentum yang timbul dalam bulan penuh barakah ini menjadi titik tolak terbaik untuk kita bekerjasama sebagai sebuah komuniti dalam memperkukuh hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia.

Untuk menjadikan masjid sebagai pusat kehidupan umat Islam, usaha berterusan diperlukan untuk menyantuni semua golongan terutamanya golongan yang terpinggir.

Mari kita bersama-sama memakmurkan masjid dan menjadikannya sebagai tempat yang hidup, dinamik dan menyeluruh, yang tidak hanya memperkukuh spiritual umat Islam, tetapi juga memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. – 1 April, 2024.

* Basmin Maarof adalah pegawai Jabatan Komunikasi Korporat Pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen