Banjir: Mangsa di Sarawak meningkat, Johor kekal pagi ini


Batalion 6 PGA menghantar pasukannya dalam operasi bantuan pasca banjir Daerah Segamat di Kampung Seberang Batu Badak. – Gambar Facebook, 21 Januari, 2024.

JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat sedikit kepada 459 orang pagi ini berbanding 444 orang, malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dua PPS di Betong menempatkan 404 orang daripada 120 keluarga manakala di Bintulu, sebuah PPS menempatkan 55 orang daripada 27 keluarga.

Mangsa banjir di Johor pula kekal 65 orang daripada 19 keluarga yang berlindung di dua PPS di Segamat.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Johor (Kota Tinggi, Johor), Sungai Kedah (Kota Setar, Kedah), Sungai Arau (Arau, Perlis) dan Sungai Terengganu (Hulu Terengganu, Terengganu).

Menurut NADMA, sebanyak 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Raya Timur Barat di Hulu Perak, Perak; Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terenganu dan Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen